KANAK-KANAK pelarian Palestin menyertai kelas al-Quran di sekolah Bear al-Saba, Rafah di selatan Gaza ketika serangan Israel masih berlarutan. FOTO AFP.
KANAK-KANAK pelarian Palestin menyertai kelas al-Quran di sekolah Bear al-Saba, Rafah di selatan Gaza ketika serangan Israel masih berlarutan. FOTO AFP.
Agensi

Baitulmaqdis: Lebih 625,000 pelajar di Semenanjung Gaza gagal mendapat pendidikan, selepas hampir semua sekolah di wilayah itu musnah akibat serangan tentera Israel sejak perang meletus, 7 Oktober tahun lalu.

Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA); Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dalam kenyataan bersama mengesahkan jumlah keciciran pelajar berkenaan.

Menurut agensi itu, banyak sekolah yang ditutup selepas 75 peratus daripadanya rosak mahupun musnah dibedil rejim Zionis.

"Kira-kira 22,000 guru juga kehilangan pekerjaan mereka dalam sektor pendidikan, manakala 300,000 kanak-kanak tercicir pelajaran atas sebab sama," katanya.

Berikutan itu, agensi terbabit menyeru perang ditamatkan supaya pelajar Palestin serta guru boleh menyambung semula pendidikan dengan selamat.

Setakat Sabtu lalu, Kementerian Pendidikan di Gaza merekodkan 4,327 pelajar lelaki dan perempuan syahid, manakala 7,819 lagi dalam operasi ketenteraan Israel.

Pada masa sama, 231 guru dan pentadbir sekolah terkorban dan 756 orang lagi cedera.

Tidak hanya sekolah, kekejaman Israel diperluas terhadap sektor pendidikan tinggi apabila universiti dan pusat pengajian yang sedia ada lumpuh sepenuhnya.

Laporan agensi WAFA menyebut 12 institusi pengajian tinggi di Gaza musnah, sekali gus mengganggu pembelajaran penuntut.

Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med yang berpangkalan di Geneva berkata, Israel memusnahkan setiap universiti di Gaza secara berperingkat.

Peringkat pertama termasuk pengeboman universiti Islam dan Al-Azhar, kata pemantau itu dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Universiti Israa di bandar selatan Gaza pula musnah dalam serangan, yang dibuktikan menerusi perkongsian video oleh media Israel pada 17 Januari lalu.

Pihak pentadbir universiti berkata, Israel melakukan pencerobohan dan menjadikan kampus sebagai pangkalan ketenteraan dan kemudahan tahanan selama berbulan sebelum ia dimusnahkan.

Selain itu, seramai 94 profesor dan tenaga pengajar universiti dibunuh tentera rejim itu, kata badan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 12:53 PM