WISSAM Hassan, komander tentera elit Radwan Hizbullah, di lokasi yang tidak diketahui, dalam imej tidak bertarikh yang diperoleh. FOTO AFP
WISSAM Hassan, komander tentera elit Radwan Hizbullah, di lokasi yang tidak diketahui, dalam imej tidak bertarikh yang diperoleh. FOTO AFP
Reuters

Beirut: Israel membunuh komander tertinggi Hizbullah, Wissam Hassan Tawil dalam serangan di selatan Lubnan pada Isnin, menurut sumber kumpulan itu di Lubnan.

Difahamkan, Wissam Hassan memainkan peranan utama dalam merangka dan mengarah operasi tentera elit Radwan Hizbullah di bahagian selatan Lubnan bagi memerangi tentera Zionis.

Wissam Hassan dan seorang lagi pejuang Hizbullah terbunuh apabila kereta dinaiki mereka diserang di Kampung Majdal Selm, kira-kira enam kilometer (km) dari sempadan, dakwa tiga sumber di Lubnan.

Bagaimanapun, tiada kenyataan balas daripada Israel mengenai serangan itu.

Hizbullah mengedarkan gambar Wissam Hassan bersama pemimpin kumpulan Syiah bersenjata lengkap termasuk Setiausaha Agung, Sayyed Hassan Nasrallah dan Imad Mughniyeh, komander yang terbunuh di Syria pada 2008.

Satu lagi imej menunjukkan dia duduk di sebelah ketua pengawal revolusi Iran digelar pasukan Quds, Qassem Soleimani, yang terbunuh dalam serangan dron Amerika Syarikat (AS) di Baghdad empat tahun lalu.

Sumber berkata, kematian Wissam Hassan ibarat tamparan besar terhadap kumpulan itu mengambil kira pengalaman luas dan peranannya bersama Hizbullah di Syria dan Iraq.

Menurut Hizbullah, penentangan terhadap Israel bertujuan menyokong rakyat Palestin di Semenanjung Gaza yang musnah teruk akibat serangan Israel sejak 7 Oktober lalu.

Permusuhan di antara Hizbullah dan Israel sebahagian besarnya membabitkan kawasan berhampiran sempadan Lubnan-Israel.

Lebih 130 pejuang Hizbullah termasuk anggota Radwan terbunuh yang terbabit dalam serangan ke atas rejim Zionis rentetan perang Israel-Palestin yang meletus sejak 7 Oktober lalu, sehingga menyebabkan konflik bergelora sekitar wilayah itu.

Ia menandakan konfrontasi paling dahsyat di antara Israel dan Hizbullah yang disokong Iran, sejak mereka berperang pada 2006.

Hizbullah dikatakan melancarkan roket serta senjata lain ke arah keberadaan Israel dan rejim Zionis melakukan serangan udara serta artileri.

Kesannya, puluhan ribu orang di kedua-dua belah sempadan terpaksa melarikan diri dan pertempuran mencetuskan kebimbangan bahawa konflik akan lebih meluas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 11:59 AM