TENTERA Israel menyiapkan peluru berhampiran sebuah artileri ketika konflik antara Israel dan Palestin. FOTO Reuters
TENTERA Israel menyiapkan peluru berhampiran sebuah artileri ketika konflik antara Israel dan Palestin. FOTO Reuters
Agensi

Baitulmaqdis: Perancangan pasca perang di Gaza menyaksikan tentera Israel membahagikan wilayah yang ditadbir Hamas kepada kawasan diperintah oleh suku atau puak dan bukannya satu entiti politik.

Agensi Anadolu memetik media KAN, ia adalah rancangan tentera Israel dan dijangka dibentangkan kepada Kabinet pada Selasa.

Ia menetapkan bahawa Semenanjung Gaza dibahagikan kepada wilayah dan sub wilayah.

Itu bermakna Israel berkomunikasi secara berasingan dengan setiap kumpulan termasuk berkaitan pengagihan bantuan kemanusiaan.

Skim yang dicadangkan juga mungkin meluas ke Tebing Barat dan mengesyorkan membahagikan wilayah kepada emiriah, dan Israel mengekalkan kawalan keselamatan.

Tel Aviv belum mengulas mengenai laporan itu, tetapi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu beberapa kali berkata bahawa beliau tidak akan membenarkan pihak berkuasa Palestin, yang mengawal Tebing Barat diduduki, mempunyai sebarang peranan dalam memerintah Gaza dalam tempoh selepas perang.

Pendirian itu bercanggah dengan Amerika Syarikat (AS) yang mencadangkan pihak berkuasa Palestin memerintah Gaza selepas tamat konflik, yang bermula selepas serangan rentas sempadan 7 Oktober oleh Hamas.

Serangan Israel membunuh hampir 22,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta menyebabkan wilayah yang dikepung itu menjadi runtuhan kerana kebanyakan infrastrukturnya musnah atau rosak.

Sementara itu, Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) melaporkan, 1.9 juta orang, atau lebih 85 peratus daripada penduduk kehilangan tempat tinggal di seluruh Semenanjung Gaza.

Sementara itu, kira-kira 1,200 warga Israel dipercayai terbunuh dalam serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 10:55 AM