Lokasi mayat wanita hamil ditembak dan dilanggar tentera Israel di Tal Al-Zaatar. FOTO platform X, Times Of Gaza
Lokasi mayat wanita hamil ditembak dan dilanggar tentera Israel di Tal Al-Zaatar. FOTO platform X, Times Of Gaza
Agensi

Bailtulmaqdis: Sungguh tidak berperikemanusiaan apabila tentera Israel tergamak menembak dan melanggar empat wanita hamil Gaza yang sedang menuju ke hospital untuk bersalin.

Insiden itu dimaklumkan saksi kejadian kepada wartawan Al Jazeera, Anas Al-Sharif, semalam.

Saksi berkata, mereka dilaporkan sempat menaikkan bendera putih ketika cuba untuk tiba ke Hospital Al-Awda apabila ditembak tentera Israel di Tal Al-Zaatar.

Kemudian, mayat wanita hamil itu dilanggar jentolak dan dibiarkan tidak tertimbus di antara timbunan mayat lain di kawasan itu.

Al Jazeera melaporkan, beberapa rumah turut musnah semasa serbuan Israel di kawasan itu manakala jumlah mangsa masih belum disahkan.

Akhbar Palestin lain juga melaporkan pembunuhan kejam terbaharu itu termasuk Quds News Network dan Times of Gaza yang berkongsi maklumat sama dalam laman X mereka.

Semalam, Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza mengesahkan, sekurang-kurangnya 20,258 orang terbunuh di wilayah Gaza sejak perang 7 Oktober lalu.

Dengan kebanyakan mereka yang terbunuh ialah wanita dan kanak-kanak.

Terdahulu pada Jumaat, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menerima pakai resolusi lemah yang menyeru segera tindakan mempercepatkan penghantaran bantuan kepada orang awam yang terdesak di Gaza, namun bukan untuk gencatan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 1:03 PM