TRAK bantuan kemanusiaan dari Mesir tiba di sempadan Kerem Shalom untuk memasuki Gaza. FOTO AFP.
TRAK bantuan kemanusiaan dari Mesir tiba di sempadan Kerem Shalom untuk memasuki Gaza. FOTO AFP.
AFP

Kerem Shalom, Israel: Trak bantuan kemanusiaan berbaris panjang dan terpaksa menunggu berjam-jam di persimpangan sempadan masuk ke Gaza yang dibuka semula baru-baru ini, untuk pemeriksaan oleh tentera Israel.

Trak tiba dari Mesir itu sarat dengan makanan asas dan bekalan kemanusiaan untuk penduduk Gaza yang terkepung dan kelaparan.

Kenderaan itu menunggu di lintasan Kerem Shalom, sempadan sebelah Israel yang dibedil tentera rejim pada Khamis, lebih dua bulan perang berlangsung antara Israel dan Hamas.

Semalam, seorang demi seorang pemandu trak Mesir memasuki tempat letak kenderaan yang luas di pintu sempadan dan memeriksa muatan yang dibawa, di bawah pengawasan tentera Israel.

Sebelum itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB) meluluskan resolusi tertangguh yang menuntut semua pihak dalam konflik membenarkan penyampaian bantuan kemanusiaan secara selamat dan tanpa halangan ke Gaza.

Resolusi PBB menggesa penciptaan "syarat untuk pemberhentian permusuhan yang mampan" tetapi tidak menyeru agar pertempuran segera dihentikan.

Namun Menteri Luar, Eli Cohen berkata, Israel akan terus memeriksa semua bantuan kemanusiaan atas sebab keselamatan.

PEMANDU trak menunjukkan muatan bantuan dibawa ketika pemeriksaan oleh tentera Israel sebaik tiba di sempadan Kerem Shalom. FOTO AFP.
PEMANDU trak menunjukkan muatan bantuan dibawa ketika pemeriksaan oleh tentera Israel sebaik tiba di sempadan Kerem Shalom. FOTO AFP.

Pemandu lori, Said Abdel Hamid yang kelihatan tidak terkesan dengan situasi itu berkata, "bangga dapat membawa bantuan kepada saudara Palestin."

Dia yang membawa bekalan tepung kelihatan bersemangat dan tidak kisah apabila dipaksa menunggu lama.

Seorang lagi pemandu, Mohamed Ali yang tiba dari Kaherah dengan membawa stok biskut berkata, perkhidmatan rahsia Mesir memberi arahan kepada mereka untuk bercakap 'sesedikit mungkin' sebelum memasuki Gaza.

Tentera Israel yang bersenjata lengkap diiringi anjing pengesan, memeriksa trak barangan berkenaan secara rawak.

Minggu lalu, Israel meluluskan penghantaran sementara bantuan melalui Kerem Shalom, laluan baharu dibuka bagi mengurangkan kesesakan di persimpangan Rafah antara Mesir dan Gaza selepas beberapa minggu tekanan antarabangsa.

Secara purata, 80 trak memasuki Gaza setiap hari melalui persimpangan Kerem Shalom, menurut tentera Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 10:47 AM