PENDUDUK Gaza berkumpul di kawasan runtuhan bangunan akibat serangan Israel di Rafah. FOTO Reuters
PENDUDUK Gaza berkumpul di kawasan runtuhan bangunan akibat serangan Israel di Rafah. FOTO Reuters
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Tentera Israel secara halus melancarkan perang psikologi mengarahkan pemindahan penduduk Gaza, Palestin setiap hari kononnya demi keselamatan mereka.

Hakikatnya, tiada satu tempat pun selamat untuk dituju dan tiada cara selamat untuk tiba ke kawasan diarahkan pindah kerana pengeboman dilakukan berterusan bahkan tentera Israel melanggar garis panduan perang.

Mereka terang-terangan menyasarkan rumah awam selain fasiliti seperti hospital, sekolah dan rumah ibadat yang menjadi tempat penduduk berlindung selepas rumah mereka musnah dibedil rejim Zionis.

Undang-undang kemanusiaan antarabangsa turut melarang pemindahan paksa orang awam kecuali buat sementara waktu apabila diperlukan atas sebab keselamatan atau operasi ketenteraan penting.

Penduduk Gaza, Al Meqdad berkata, beberapa minit sebelum talian telekomunikasi terputus semalam, dia menghubungi keluarganya yang memaklumkan pegawai Israel menghubungi mereka dan memaksa pemindahan segera dari lokasi semasa.

"Apabila keluarga saya bertanya tentang destinasi selamat, jawapan pegawai itu tiada tempat yang selamat.

"Bergerak di sekitar Gaza sangat mencabar kerana setiap kawasan berpotensi bahaya dan sesiapa sahaja mungkin berdepan kematian.

"Sekarang komunikasi terputus lagi, saya tak tahu apa nasib keluarga saya," katanya menerusi aplikasi X, petang semalam.

Sementara itu, Pengurus Besar Global Peace Mission (GPM) di Gaza, Dr Tareq Al Talmas berkata, mereka menerima mesej ugutan Israel dengan alasan sedang menjalankan operasi memusnahkan Hamas.

"Israel mengumumkan Khan Younis kawasan pertempuran dan kami diminta berpindah ke Rafah.

"Kami ada kira-kira 40 orang di sini, separuh daripada mereka kanak-kanak. Kami tidak berpindah kerana tidak tahu hendak pergi mana lagi kerana di Rafah juga pengeboman masih berterusan," katanya dalam Instagram GPM Malaysia.

Terbaharu Tareq berkata, tentera Israel mengarahkan penduduk di Kizan Abu Rashuan, Albatan Alsmin dan Jurat Alalot ke tempat perlindungan baharu di Tal Al Sultan, Al Zahur dan Al Shabura.

"Israel mengarahkan penduduk kawasan itu berpindah segera kerana mereka akan memusnahkan kawasan terbabit.

"Beginilah kami akan terima mesej sama dari semasa ke semasa," katanya.

Sehingga kini, serangan Israel menjejaskan operasi 76 hospital dan pusat kesihatan serta memusnahkan 308 unit bangunan, 102 ambulans, 140 pertubuhan kesihatan, 283 sekolah dan universiti, 126 ibu pejabat kerajaan, 200 masjid dan tiga gereja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 1:58 PM