Pekerja Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mengangkut bantuan di Khan Younis, Gaza dalam imej pegun ini diambil daripada video yang diperoleh daripada media sosial, dikeluarkan pada 14 Disember 2023. FOTO Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin/ melalui REUTERS
Pekerja Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mengangkut bantuan di Khan Younis, Gaza dalam imej pegun ini diambil daripada video yang diperoleh daripada media sosial, dikeluarkan pada 14 Disember 2023. FOTO Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin/ melalui REUTERS
AFP

Bailtulmaqdis: Israel semalam membuka sempadan bagi membolehkan bantuan masuk ke Gaza di tengah-tengah desakan Amerika Syarikat.

Pejabat Perdana Menteri berkata, kerajaan meluluskan 'langkah sementara' membenarkan bantuan dihantar terus ke Gaza melalui lintasan sempadan Kerem Shalom.

"Ia selepas mendapat tekanan supaya menyelamatkan orang awam," katanya.

Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat, Jake Sullivan, yang mengakhiri lawatan ke Israel dan Tebing Barat, menyifatkan keputusan itu sebagai langkah penting.

"Presiden (Joe) Biden membangkitkan isu ini dalam panggilan telefon baru-baru ini dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

"Ia juga topik perbincangan penting semasa lawatan saya ke Israel sejak dua hari lalu," katanya.

Katanya, AS berharap pembukaan baharu ini akan mengurangkan kesesakan dan membantu memudahkan penyampaian bantuan bagi menyelamatkan nyawa penduduk Gaza.

Seorang wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, pengumuman itu berita yang sangat baik.

Pengagihan bantuan sebahagian besarnya terhenti di kebanyakan Gaza, kecuali secara terhad di kawasan Rafah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Israel menghadapi tekanan berminggu-minggu daripada agensi bantuan dan sekutu Barat untuk membuka semula Kerem Shalom ketika sempadan Rafah-Mesir bergelut untuk menangani skala keperluan di Gaza.

PBB menganggarkan, 1.9 juta daripada 2.4 juta penduduk kehilangan tempat tinggal akibat konflik perang meletus sejak 7 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 2:16 PM