ASAP tebal dilihat susulan serangan Israel di Semenanjung Gaza. FOTO AFP
ASAP tebal dilihat susulan serangan Israel di Semenanjung Gaza. FOTO AFP
AFP

Gaza: Tentera Israel melepaskan tembakan ke wad pesakit di sebuah hospital di sini, hingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan 12 kanak-kanak yang berada di wad pediatrik, menurut Kementerian Kesihatan pada Rabu.

Jurucakap kementerian itu, Ashraf Al-Qudra dalam satu kenyataan berkata, tentera Israel turut mengetatkan pengepungan.

"Pasukan pendudukan (Israel) mengetatkan pengepungan dan sasaran Hospital Kamal Adwan serta menembak ke arah bilik pesakit dan halaman (hospital).

"Kami bimbang keselamatan 12 kanak-kanak dalam wad kanak-kanak yang sudah kekurangan susu dan tanpa peralatan sokongan hayat," katanya.

Bagaimanapun, tidak ada sebarang kenyataan daripada pihak tentera Israel.

Qudra berkata, tentera Israel, pada Selasa, menyerbu Hospital Kamal Adwan di utara Gaza dan menangkap lelaki yang berada di perkarangan hospital itu.

Sehari sebelumnya, OCHA, agensi kemanusiaan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, dua ibu terbunuh apabila wad bersalin di Hospital Kamal Adwan, dilaporkan terkena serangan.

Dalam kenyataan lain pada Rabu, Qudra berkata bahawa tentera Israel menahan pengarah hospital itu, Ahmed Al-Kahlot dan kakitangan lain. Malah, mereka diseksa dan tidak diberikan makanan dan minuman sebelum beberapa daripada mereka dibebaskan.

Qudra berkata, tentera Israel juga menyasarkan Hospital Al-Awda dan mengetatkan pengepungan kemudahan itu, serta menyekat bekalan air, makanan dan elektrik.

"Mereka juga menghalang (individu) yang cedera dan sakit daripada sampai ke hospital," katanya.

Tentera Israel sebelum ini menyerbu kemudahan perubatan lain di Gaza, termasuk Hospital Al-Shifa, hospital terbesar di wilayah itu.

Tentera Israel menuduh Hamas menggunakan hospital sebagai pusat operasi untuk merancang dan melancarkan serangan terhadap tentera Israel.

Pada masa ini, hanya terdapat satu hospital di utara Gaza yang boleh menerima pesakit, menurut PBB.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada Ahad berkata, hanya 14 daripada 36 hospital di seluruh wilayah berfungsi, menyediakan penjagaan kesihatan terhad sambil melindungi beribu-ribu orang yang kehilangan tempat tinggal.

Lebih 18,600 penduduk Gaza terbunuh dan hampir 50,600 cedera sejak perang antara Israel dan Hamas meletus lebih dua bulan lalu.

Majoriti mangsa perang di Israel dan Gaza adalah orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 9:33 AM