ASAP tebal dari kawah Gunung Marapi, dilihat dari Padang Panjang, Sumatera Barat. FOTO Antara Foto/ Reuters
ASAP tebal dari kawah Gunung Marapi, dilihat dari Padang Panjang, Sumatera Barat. FOTO Antara Foto/ Reuters
Agensi

Jakarta: Jumlah kematian akibat letusan Gunung Marapi di Sumatera Barat di Indonesia, meningkat kepada 23 dan kesemua mereka adalah pendaki, kata polis pada Rabu, lapor Bernama yang memetik agensi berita Jerman, dpa.

Pendaki terbabit antara 75 individu yang mendaftarkan diri untuk mendaki Gunung Marapi, apabila ia tiba-tiba meletus pada petang Ahad, memuntahkan lava panas dan batu ke udara.

Ketua Polis Sumatera Barat, Suharyono berkata, 52 pendaki sudah diselamatkan dari destinasi popular bagi penggemar aktiviti pendakian itu.

Beliau berkata, sepasukan gabungan 300 anggota daripada pelbagai agensi masih mencari individu yang mungkin mendaki gunung itu tetapi tidak berdaftar.

"Berikut adalah kemas kini: Daripada 75 pendaki yang direkodkan, 52 pendaki berjaya diselamatkan, walaupun ada yang cedera ringan, parah dan sebagainya.

"Manakala, 23 lagi diisytiharkan meninggal dunia," kata Suharyono pada sidang akhbar.

Beliau berkata, 23 mangsa adalah mereka yang diketahui keberadaannya dan angka kematian mungkin meningkat apabila operasi mencari dan menyelamat diteruskan.

Dalam pada itu, AFP melaporkan seorang mangsa yang terselamat, Ridho, 22, menceritakan situasi panik selepas letusan bermula.

"Saya (turun gunung secara) zig-zag, turun sekitar 30 hingga 40 meter ke pos pendakian" katanya kepada AFP ketika ditemui di hospital berdekatan.

Menurutnya, letusan itu amat kuat.

"Letusan itu berbunyi kuat, saya menoleh ke belakang kemudian segera melarikan diri seperti semua orang. Ada yang melompat dan jatuh. Saya berlindung di sebalik batu, tidak ada pokok di sana," katanya.

Gunung Marapi adalah salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia.

Kepulauan Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik yang mengelilingi Lautan Pasifik.

Kali terakhir gunung berapi itu meletus adalah pada 2018. Letusan paling dahsyat gunung berapi itu berlaku pada 1979 yang menyebabkan lebih 60 individu terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 2:09 PM