AFP

Jakarta: Ratusan anggota pasukan penyelamat dikerahkan bagi mencari 12 pendaki yang masih hilang setakat pagi Selasa selepas Gunung Marapi di Sumatera Barat, meletus pada Ahad lalu.

Ketua operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Padang, Hendri memberitahu AFP, kira-kira 200 anggota ditempatkan di lokasi kejadian.

"Sehingga kini lima mayat sudah dibawa turun. Gunung berapi itu masih meletus," katanya.

Menurut Hendri, enam mayat masih perlu dipindahkan, dengan lima dibawa turun gunung untuk pengecaman.

Katanya, pasukan penyelamat cuba melakukan pemindahan secara manual dengan berjalan ke puncak gunung berapi dan memindahkan mangsa menggunakan pengusung kerana letusan berterusan dan jarak penglihatan yang lemah.

Sementara itu, Ketua Pos Pemantau Gunung Marapi, Ahmad Rifandi, berkata, pihaknya mendapati berlaku lima letusan dari tengah malam hingga 8 pagi waktu tempatan.

"Marapi masih sangat aktif. Kami tidak dapat melihat puncak kerana ia dilitupi awan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Padang, Abdul Malik memberitahu pemberita pada Isnin bahawa tiga pendaki ditemukan selamat di atas gunung, tetapi mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Ketua agensi vulkanologi Indonesia, Hendra Gunawan berkata, Marapi berada di tahap kedua sistem amaran empat peringkat sejak 2011, dan zon pengecualian tiga kilometer (km) dikenakan di sekitar kawahnya.

Hendra menyalahkan pendaki pada Isnin lalu kerana pergi terlalu dekat dengan kawah.

Katanya, agensi itu tidak mengesyorkan aktiviti manusia di zon itu, dan menekankan bahawa kesan teruk dilaporkan bagi mangsa berada pada jarak satu hingga 1.5 km dari kawah.

Tambahnya, pendaki terbabit mendaftar melalui sistem tempahan dalam talian, tetapi yang lain mungkin mendaki secara haram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 11:04 AM
MAYAT salah seorang pendaki selepas dibawa turun dari Gunung Marapi, semalam.  FOTO Antara Foto/ Reuters
MAYAT salah seorang pendaki selepas dibawa turun dari Gunung Marapi, semalam. FOTO Antara Foto/ Reuters