ASAP menjulang ke udara selepas serangan udara Israel selepas gencatan senjata berakhir. FOTO AFP
ASAP menjulang ke udara selepas serangan udara Israel selepas gencatan senjata berakhir. FOTO AFP
Reuters

Gaza: Serangan kedua yang memasuki hari kedua selepas gencatan senjata berakhir semalam sudah membunuh 184 mangsa dan mencederakan sekurang-kurangnya 589 yang lain dan memusnahkan 20 rumah.

Kawasan timur Khan Younis di selatan Gaza mengalami pengeboman hebat oleh pihak Zionis sebaik tempoh gencatan senjata tamat sejurus selepas subuh pada Jumaat (waktu tempatan).

Wartawan Reuters yang berada di bandar itu berkata, beliau dengan jelas melihat asap menjulang ke langit ketika pengeboman berlaku.

Menjelang petang Jumaat, pegawai kesihatan Gaza berkata serangan udara Israel telah membunuh 184 mangsa, mencederakan sekurang-kurangnya 589 yang lain dan memusnahkan lebih 20 rumah.

Penduduk berbondong-bondong keluar ke jalan raya dengan barangan yang ditimbun di dalam gerabak untuk mencari tempat berlindung lebih jauh ke barat.

Pihak yang bertelagah menyalahkan satu sama lain atas kegagalan meneruskan gencatan senjata, termasuk menolak syarat untuk melanjutkan pembebasan harian tebusan yang ditahan oleh pejuang Hamas sebagai pertukaran untuk rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pertempuran itu akan memburukkan lagi darurat kemanusiaan yang sudah menjadi krisis kemanusiaan paling kritikal di Asia Barat sekarang.

"Neraka di bumi telah kembali ke Gaza," kata Jens Laerke, jurucakap pejabat kemanusiaan PBB di Geneva.

"Hari ini, dalam beberapa jam, ramai dilaporkan terbunuh dan cedera. Setiap keluarga diberitahu untuk berpindah, sekali lagi. Harapan sudah musnah," kata ketua bantuan PBB Martin Griffiths.

Griffiths berkata, kanak-kanak, wanita dan lelaki Gaza sudah tiada tempat yang selamat untuk pergi dan harapan untuk terus hidup sangat sedikit.

Jeda yang bermula pada 24 November lalu dilanjutkan dua kali dan Israel berkata ia boleh diteruskan selagi Hamas membebaskan 10 tebusan setiap hari.

Tetapi selepas tujuh hari, yang mana wanita dan kanak-kanak serta tebusan warga asing dibebaskan, pengantara dilihat gagal mencari formula untuk membebaskan lebih ramai lagi, termasuk askar dan lelaki awam Israel.

Serangan Israel sejak 7 Oktober memusnahkan sebahagian besar Gaza yang mana Hamas sudah memerintah sejak 2007.

Pihak berkuasa kesihatan Palestin merekodkan lebih 15,000 penduduk Gaza sudah disahkan terbunuh dan beribu-ribu lagi hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 12:19 PM