LOKASI kejadian terowong yang runtuh di daerah Uttarkashi, Uttarakhand, India. FOTO AFP
LOKASI kejadian terowong yang runtuh di daerah Uttarkashi, Uttarakhand, India. FOTO AFP
AFP

New Delhi: Kesemua 41 mangsa terselamat semalam selepas 17 hari terperangkap dalam runtuhan terowong di Banjaran Himalaya, disambut bagaikan wira dengan sorakan dan kalungan bunga.

Mereka disambut selepas dibawa keluar melalui paip keluli sepanjang 57 meter dengan pengusung yang dipasang khas dengan roda.

Mangsa berkenaan disambut oleh pegawai negeri sebelum bertemu dan berpelukan keluarga mereka.

"Kami bersyukur kepada Tuhan dan penyelamat yang bekerja keras untuk menyelamatkan mereka," kata Naiyer Ahmad, abang kepada Sabah Ahmad iaitu salah seorang mangsa yang terselamat kepada AFP.

"Kami sangat gembira, tiada kata-kata yang dapat menjelaskannya.

"Suami saya bukan sahaja mendapat kehidupan baharu, kami juga mendapat kehidupan baharu. Kami tidak akan melupakannya," kata Musarrat Jahan, isteri Sabah Ahmad, ketika dihubungi AFP.

Sementara itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi memberitahu kakitangan dalam satu kenyataan bahawa keberanian dan kesabaran mereka memberi inspirasi kepada semua individu.

"Kesabaran, kerja keras dan iman dimenangi," kata Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami yang turut memuji "doa berpuluh juta penduduk dan kerja keras semua pasukan penyelamat."

Difahamkan, kesihatan kakitangan terbabit adalah baik dengan sepasukan anggota perubatan di hospital lapangan datang memeriksa mereka sebaik sahaja mereka dibawa keluar dari terowong itu, tambah Dhami.

Guriya Devi, isteri kepada Sushil Kumar yang juga salah seorang mangsa diselamatkan tidak henti berdoa sejak terowong itu runtuh.

"Kami melalui masa yang mengerikan, dan kadang-kadang kehilangan harapan tetapi akhirnya masanya tiba untuk meraikan," katanya.

Munnilal Kishku, bapa kepada Birendar Kishku iaitu seorang lagi mangsa terselamat berkata, mereka tidak merayakan Deepavali kerana kejadian berlaku pada waktu yang sama ketika terowong itu runtuh.

"Kami akan meraikannya apabila dia sampai ke kampung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 11:39 AM