AFP

Gaza: Mayat puluhan individu yang tidak dikenali dikebumikan di sebuah kubur besar di tanah perkuburan di Khan Yunis, di selatan Semenanjung Gaza, Rabu lalu.

Mayat dalam balutan kain biru yang sebahagiannya berlumuran darah itu diangkat di atas pengusung sebelum dimasukkan ke dalam lubang yang secara beransur-ansur dibesarkan oleh penggali kubur.

"Memandangkan syuhada ini tidak mempunyai sesiapa untuk mengucapkan selamat tinggal, kami menggali kubur besar-besaran untuk mengebumikan mereka. Mereka adalah syuhada yang tidak dikenali," kata Bassem Dababesh dari jawatankuasa kecemasan di Kementerian Hal Ehwal Agama kepada AFP.

Menurut ahli jawatankuasa di tapak pengebumian, jenazah terbabit hanya ditandakan dengan nombor dan datang dari Hospital Indonesia serta Hospital Al-Shifa di utara Semenanjung Gaza,

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qudra memaklumkan, Hospital Indonesia di pinggir kem pelarian Jabalia, yang menjadi sasaran serangan udara Israel.

"Terdapat mayat di mana-mana. Jika saya tidak melihatnya dengan mata kepala saya sendiri, saya tidak akan percaya," kata Umm Mohammed al-Ran, wanita yang dipindahkan dari hospital Indonesia ke Rafah di selatan Gaza.

"Orang yang cedera mati di hadapan kami...

"Bau busuk kematian ada di mana-mana di hospital. Mereka yang cedera menangis meminta ubat penahan sakit, tetapi doktor tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan kepada mereka," katanya kepada AFP.

Dia mengangkat telefonnya untuk menunjukkan video yang diambilnya. Ia menunjukkan cacing merangkak dari luka yang dijangkiti pada kaki pesakit.

Keadaan yang sama berlaku di Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza, hospital terbesar di wilayah itu.

Pada 14 November lalu, pengarah hospital itu, Mohammad Abu Salmiya berkata, 179 mayat dikebumikan di dalam kubur besar di dalam kompleks itu.

Antaranya, tujuh bayi pramatang yang meninggal dunia kerana tiada bekalan elektrik untuk menghidupkan inkubator.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 10:09 AM