DR Namoos meluangkan masa terakhir bersama anak dan isterinya yang keluar dari Gaza melalui lintasan Rafah. FOTO  Reuters
DR Namoos meluangkan masa terakhir bersama anak dan isterinya yang keluar dari Gaza melalui lintasan Rafah. FOTO Reuters
Reuters

Gaza: Suasana penuh emosi di kompleks terminal Rafah apabila seorang doktor, Dr Mohammad Abu Namous terpaksa merelakan keluarganya menuju ke persimpangan lintasan Rafah, antara Semenanjung Gaza dan Mesir, pada Selasa untuk keluar dari zon perang di Gaza.

"Tiada jalan keluar lain daripada ini. Tiada keselamatan, seluruh Semenanjung Gaza tidak selamat. Sebab itulah lebih baik jika saya mengeluarkan mereka (keluarga) dari Gaza supaya saya boleh fokus pada kerja saya merawat pesakit.

"Saya akan membawa mereka keluar tetapi saya sendiri akan terus tinggal di Semenanjung Gaza. Saya tidak akan pergi," kata pakar bedah ortopedik itu kepada Reuters sambil duduk bersama isteri dan anak perempuannya di ruang menunggu di terminal itu.

Dia memeluk erat anak perempuannya untuk kali terakhir di persimpangan sempadan Rafah ke Mesir, mengucapkan selamat tinggal dalam keadaan sangat beremosi kepada keluarganya.

Tugas Dr Namous sebagai pengamal perubatan amat diperlukan pada masa ini untuk merawat ribuan rakyat Palestin yang cedera dalam pengeboman rejim zionis Israel ke atas enklaf itu.

Anak perempuannya, Dina berkata, perasaannya pada masa perjalanan untuk keluar dari Gaza itu bercampur-baur antara teruja dan sedih.

"Kami akan pergi ke tempat yang ada elektrik, air, internet dan segala-galanya. Tetapi pada masa yang sama, saya sedih ayah akan tinggal di sini," kata Dina.

Keluarga Dr Namous memegang pasport dua kerakyatan, kewarganegaraan Palestin-Moldova.

Mereka adalah antara ratusan orang awam memegang pasport dua kerakyatan dan asing yang dibenarkan keluar ke Mesir melalui persimpangan Rafah, satu-satunya jalan keluar dari Gaza.

Dr Namous berkata, dia memindahkan keluarganya dari kem Jabalia di utara Gaza ketika serangan Israel di al-Zahra dan kemudian berpindah lagi ke kem al-Nusairat di tengah Gaza.

Tetapi hakikatnya mencari tempat selamat di Gaza untuk mereka terbukti sukar dilakukan kerana semua tempat dihujani bom tentera zionis Israel.

Israel sudah melakukan pengeboman di seluruh Gaza sejak 7 Oktober lalu.

Pegawai kesihatan di Gaza menganggarkan serangan Israel membunuh lebih 10,000 orang, dengan kira-kira 40 peratus daripada mereka kanak-kanak, mendorong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa (PBB) Antonio Guterres memberi amaran bahawa Gaza menjadi 'kuburan untuk kanak-kanak'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 1:01 PM