FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Tokyo: Kereta api bertembung dengan beruang setinggi 1.8 meter (m) di bandar Furano, di Hokkaido, pulau di utara Jepun, kira-kira jam 11.30 malam pada Isnin lalu, kata pihak berkuasa.

Susulan insiden terbabit, lapan orang penumpang terpaksa bermalam di dalam gerabak kereta api yang tidak dipanaskan, dalam cuaca sejuk.

Kemalangan itu menyebabkan kereta api terbabit tidak dapat bergerak dan mereka yang berada di dalamnya dinasihatkan supaya tidak keluar sehingga pemburu tiba untuk memastikan tiada beruang lain.

Namun, pemburu tidak dibenarkan melepaskan tembakan pada waktu malam menyebabkan penumpang terpaksa menunggu sehingga awal pagi atau waktu subuh.

Sebaik matahari terbit, beruang itu ditemukan mati dan ia dialihkan oleh pekerja kereta api.

Seorang penumpang berkata, kejadian itu membuatkan dia berasa terkejut kerana ia berlaku secara tiba-tiba.

"Saya berasa sangat terkejut, sebab ia berlaku secara tiba-tiba," katanya.

Dilaporkan, Jepun sedang bergelut dengan peningkatan insiden berkaitan beruang.

Bilangan serangan beruang ke atas manusia juga meningkat secara mendadak tahun ini, dengan pakar menyalahkan penuaian pokok ok (acorn) yang lemah memaksa haiwan itu bergerak lebih jauh untuk mendapatkan makanan sebelum hibernasi pada musim sejuk.

Menurut data awal yang dikeluarkan oleh Kementerian Alam Sekitar pada Rabu, lima orang menjadi mangsa serangan beruang, sepanjang tahun ini.

Pada Mei lalu, dilaporkan seorang lelaki ditemukan mati di bandar Hokkaido, dalam keadaan badannya cedera teruk dan kepalanya terputus.

Angka kementerian menunjukkan bahawa dalam tahun semasa, 180 orang terbabit dalam serangan beruang, jauh lebih tinggi daripada purata 106 orang, dalam tempoh lima tahun sebelumnya.

Terdapat 14,943 penampakan beruang di seluruh Jepun sehingga akhir September, dan meningkat 4,210 daripada tempoh yang sama tahun lepas.

Di Furano juga, penampakan beruang meningkat tahun ini kerana lebih ramai pelancong kembali selepas pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 12:25 PM