ASAP tebal  dan kebakaran susulan serangan udara Israel di Gaza. FOTO AFP
ASAP tebal dan kebakaran susulan serangan udara Israel di Gaza. FOTO AFP
AFP

Gaza: Hampir 50 tebusan yang ditahan di Semenanjung Gaza sejak serangan 7 Oktober, terbunuh dalam serbuan pengeboman Israel di wilayah Palestin, kata sayap bersenjata Hamas pada Khamis.

"Briged Ezzedine al-Qassam menganggarkan bahawa jumlah tawanan yang terbunuh mencecah hampir 50 orang.

"Tebusan ditempatkan di Semenanjung Gaza itu terbunuh akibat serangan dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin yang dilakukan oleh rejim zionis itu sendiri," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan menerusi saluran Telegramnya.

AFP tidak dapat mengesahkan dakwaan itu dengan segera. Israel melancarkan serangan udara dan artileri besar-besaran ke atas Gaza sehingga menyebabkan kemusnahan teruk dengan ribuan terkorban.

Sebelum ini, tentera Israel berkata, 224 orang diculik oleh pejuang Palestin semasa serangan ke atas selatan Israel yang turut menyebabkan 1,400 orang di pihak zionis terbunuh.

"Kami memaklumkan kepada keluarga 224 tebusan. Jumlah ini berubah berdasarkan risikan yang kami perolehi.

"Ia akan terus berubah. Usaha untuk mengembalikan tebusan adalah keutamaan," kata jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari kepada pemberita.

Menurut angka kerajaan Israel yang tidak dapat disahkan oleh AFP, sekurang-kurangnya separuh daripada tebusan mempunyai pasport asing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 11:36 AM