LI Shangfu dipecat daripada Kabinet Xi Jinping pada Selasa. FOTO Fail Reuters.
LI Shangfu dipecat daripada Kabinet Xi Jinping pada Selasa. FOTO Fail Reuters.
Reuters

Beijing: Selepas dua bulan menghilang, Menteri Pertahanan China, Li Shangfu akhirnya dipecat daripada kabinet Presiden Xi Jinping.

Beliau juga digugurkan daripada ahli majlis negara.

Beliau adalah menteri kanan kedua yang dipecat dalam tempoh tiga bulan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kestabilan pasukan kepimpinan Xi.

Rombakan kerajaan itu diumum semalam, dengan China turut mengumumkan pengguguran Qin Gang daripada jawatan ahli majlis negara.

Gang dipecat daripada jawatan Menteri Luar pada Julai lalu.

Penggubal undang-undang tertinggi China, Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan meluluskan pemecatan kedua-dua lelaki itu tanpa memberi sebarang penjelasan.

Difahamkan, tiada pengganti Li yang dinamakan buat masa ini, secara tidak langsung meninggalkan negara itu tanpa menteri pertahanan ketika China bersiap sedia menjadi tuan rumah sidang pegawai pertahanan asing di Forum Xiangshan Beijing pada 29 Oktober depan.

Kali terakhir Li, 65, kelihatan pada majlis rasmi adalah pada 29 Ogos lalu dan Reuters bulan lalu melaporkan Li sedang disiasat kerana disyaki terbabit dalam kes rasuah berkaitan perolehan dan pembangunan peralatan kerajaan.

Beliau memegang jawatan itu pada Mac lalu apabila Xi menerajui negara buat penggal ketiga.

Li yang dalam sekatan Amerika Syarikat (AS) susulan pembelian pesawat perang dan peralatan dari Rusia merupakan menteri pertahanan paling singkat berkhidmat di China.

Qin juga berkhidmat kurang setahun selepas hilang daripada majlis umum dan digantikan penyandangnya Wang Yi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 11:40 AM