KAWASAN sempadan Israel dan Lubnan. FOTO AFP.
KAWASAN sempadan Israel dan Lubnan. FOTO AFP.
Agensi

Beirut: Lebih 19,000 individu hilang tempat tinggal di Lubnan sejak awal Oktober lalu akibat ketegangan yang memuncak di sempadan Lubnan-Israel, susulan perang Hamas dengan rejim Zionis itu, menurut agensi migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) berkata, 19,646 individu berpindah di Lubnan sejak badan itu menjejaki pergerakan penduduk, 8 Okt lalu, iaitu sehari selepas serangan ke atas Israel oleh pejuang Hamas dan serangan balas ke atas Semenanjung Gaza.

Katanya, pergerakan itu kebanyakannya oleh mereka yang melarikan diri dari selatan Lubnan, manakala beberapa individu juga berpindah dari kawasan lain.

"Kami menjangkakan jumlah itu akan meningkat apabila ketegangan merentasi sempadan berterusan," kata jurucakap IOM Mohammed Ali Abunajela dalam kenyataan dilapor AFP.

Sementara itu, pihak berkuasa Palestin melaporkan sejak tercetusnya perang, Israel tanpa henti mengebom Gaza, yang membunuh lebih 5,000 individu, kebanyakannya orang awam.

Ketika Israel meningkatkan serangan di Gaza, kumpulan Hizbullah disokong Iran, yang berpangkalan di selatan Lubnan, meningkatkan serangannya ke atas sasaran Israel.

Israel melakukan serangan rentas sempadan dan pengeboman ke atas Lubnan, sementara kumpulan pejuang Palestin juga melancarkan cubaan penyusupan terhad ke Israel.

Komuniti penduduk di Israel diberitahu supaya berpindah, manakala ribuan individu di Lubnan melarikan diri dari bandar sempadan ke bahagian lain di selatan atau ke kawasan yang lebih dekat dengan ibu negara, Beirut.

Abunajela berkata, pergerakan orang ramai tidak membantu keadaan yang sudah 'merosot' di negara itu.

"Di tengah keadaan ekonomi yang merosot dan peningkatan ketara kadar kemiskinan dalam kalangan penduduk di Lubnan, perpindahan dalaman mungkin menambah tekanan kepada sumber komuniti tuan rumah," katanya.

Ramai yang melarikan diri dari selatan Lubnan dan berpindah ke utara, di bandar pesisir pantai Tyre, iaitu 18 kilometer (km) dari sempadan.

Hizbullah yang dilapor Al Jazeera berkata 27 pejuangnya terkorban sejak konflik 7 Oktober lalu.

Sumber keselamatan Lubnan yang dilapor Reuters berkata, 11 pejuang dari kumpulan Palestin di Lubnan, yang juga sekutu Hizbullah turut terbunuh.

Tentera Israel berkata, tujuh anggotanya maut di kawasan sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 4:07 PM