PENDUDUK Palestin berkumpul di hadapan masjid yang musnah akibat serangan Israel di Gaza. FOTO Reuters.
PENDUDUK Palestin berkumpul di hadapan masjid yang musnah akibat serangan Israel di Gaza. FOTO Reuters.
Agensi

Gaza: Sejak 7 Oktober, sejumlah 31 masjid di Semenanjung Gaza musnah akibat bedilan serangan tentera Israel.

Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin dalam kenyataan pada Ahad berkata, serangan terbaharu memusnahkan lima masjid.

"Jumlah masjid yang musnah sepenuhnya sejak bermulanya serangan Israel ke atas Gaza meningkat kepada 31," kata kementerian itu.

Pada Sabtu, dilaporkan serangan pengeboman Israel turut memusnahkan bangunan awam seperti ibu pejabat kementerian, stesen radio al-Quran di bawah kementerian dan sebuah gereja.

Dilaporkan 10 kakitangan kementerian terkorban dalam serangan itu dan yang lain cedera.

Pejabat media kerajaan di Semenanjung Gaza berkata, serangan Israel mengakibatkan kerosakan teruk kepada tiga gereja

"Manakala separuh kediaman di Semenanjung Gaza rosak sama ada sebahagian atau keseluruhannya dalam tempoh dua minggu serangan," katanya.

Konflik Israel-Hamas berterusan lebih dua minggu dengan 4,651 rakyat Palestin terbunuh setakat ini termasuk 1,873 kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 1:24 PM