PENDUDUK Israel mengusung mangsa cedera susulan pengeboman Israel di sebuah sekolah kendalian agensi PBB di Khan Yunis, selatan Gaza. FOTO AFP
PENDUDUK Israel mengusung mangsa cedera susulan pengeboman Israel di sebuah sekolah kendalian agensi PBB di Khan Yunis, selatan Gaza. FOTO AFP
AFP

Gaza: Lima agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan situasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza adalah malapetaka.

Agensi terbabit adalah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO); Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan Program Makanan Sedunia (WFP).

Dua lagi agensi adalah Program Pembangunan PBB (UNDP) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA)

Sehubungan itu, PBB menggesa lebih banyak bantuan antarabangsa terutama apabila keadaan semakin merosot di enklaf pantai yang berpenduduk padat itu.

Kenyataan itu susulan tindakan Israel yang akan meningkatkan serangan di Gaza sebagai usaha memberi tekanan ke atas pejuang Hamas.

Malah, pegawai kanan tentera Israel turut memberi amaran kepada tentera supaya bersedia memasuki wilayah Palestin yang terkepung.

Kenyataan oleh agensi PBB itu juga dibuat ketika lori yang membawa bantuan kemanusiaan dari Mesir mula memasuki pintu sempadan Rafah pada Sabtu.

"Lebih 1.6 juta orang di Gaza sangat memerlukan bantuan kemanusiaan.

"Kanak-kanak, wanita hamil dan warga tua kekal paling terdedah. Hampir separuh daripada penduduk Gaza adalah kanak-kanak.

"Gaza adalah situasi kemanusiaan yang terdesak sebelum permusuhan terbaharu. Ia kini malapetaka. Dunia mesti menghulurkan bantuan lebih banyak lagi," kata kenyataan bersama itu.

Terdahulu, serangan mengejutkan pejuang Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober itu menyebabkan 1,400 orang awam di Israel maut.

Susulan itu, Israel melancarkan pengeboman udara dan darat yang dahsyat ke atas Gaza. Pihak berkuasa Hamas berkata lebih 4,385 orang terkorban.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 11:34 AM