ASKAR Israel melakukan rondaan di Kiryat Shmona, bandar berhampiran sempadan dengan Lubnan. FOTO AFP
ASKAR Israel melakukan rondaan di Kiryat Shmona, bandar berhampiran sempadan dengan Lubnan. FOTO AFP
Reuters

Baitulmaqdis: Israel bakal memindahkan lebih 20,000 penduduk dari Kiryat Shmona, salah satu bandar terbesar di sempadan utaranya dengan Lubnan berikutan pertempuran berterusan merentas sempadan di kawasan itu, sejak perang dengan Gaza meletus dua minggu lalu.

Susulan itu, Israel mengisytiharkan beberapa kawasan di sepanjang sempadan sebagai zon tentera tertutup hingga memaksa penduduk berpindah. Situasi itu menjadikan ia pemindahan terbesar di wilayah timur Galilee.

Tentera Lubnan melaporkan seorang wartawan terbunuh akibat tembakan Israel pada Khamis lalu di kawasan seberang sempadan dari Kiryat Shmona, di mana berlaku pertempuran antara tentera Israel dan kumpulan Hizbullah yang disokong Iran.

"Kami mengesahkan bahawa pembunuhan orang awam dan serangan terhadap keselamatan negara kami tidak akan berlaku tanpa tindak balas atau hukuman," kata Hizbullah dalam satu kenyataan.

Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF) Daniel Hagari berkata, pemindahan yang dilakukan di beberapa bandar di sempadan utara, membolehkan IDF mengembangkan kebebasan operasinya untuk bertindak menentang pejuang Hizbullah.

Keganasan berterusan di sepanjang sempadan Israel-Lubnan menimbulkan kebimbangan bahawa pertempuran antara Israel dan Hamas di Gaza boleh menjadi konflik serantau yang lebih luas.

Tentera Israel berkata, salah satu dron milik mereka menyerang pejuang di wilayah Lubnan yang menyasarkan aset Hizbullah sebagai tindak balas kepada roket yang ditembak dari Lubnan.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Israel berkata, penduduk dari Kiryat Shmona akan ditempatkan di rumah tumpangan yang disubsidi negara bersama puluhan ribu rakyat Israel lain yang sudah meninggalkan kediaman mereka dari kawasan berhampiran sempadan selatan Gaza.

Dalam masa sama, Jawatankuasa Melindungi Wartawan berkata, pihaknya merekodkan lebih 20 wartawan terbunuh sejak bermulanya konflik Israel-Gaza dan sedang menyiasat laporan wartawan lain yang terbunuh, cedera dan dilaporkan hilang.

Insiden terbaharu di sempadan Israel-Lubnan berlaku hampir seminggu selepas wartawan Reuters Issam Abdallah terbunuh di selatan Lubnan.

Insiden itu membuatkan tentera Lubnan menyalahkan Israel, manakala tentera Israel berkata, pihaknya sedang meneliti kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 10:59 AM