LELAKI Afghanistan mengusung jenazah wanita, antara mangsa gempa bumi berkenaan. FOTO Reuters
LELAKI Afghanistan mengusung jenazah wanita, antara mangsa gempa bumi berkenaan. FOTO Reuters
AFP

Kabul: Satu upacara pengebumian besar-besaran dilaksanakan di kampung Siah Ab untuk kira-kira 300 korban gempa bumi, diadakan pada Isnin di lokasi luar bandar barat Afghanistan itu.

Ia dilaksanakan ketika masih ramai keluarga yang terperangkap dalam runtuhan rumah, dua hari selepas gempa bermagnitud tinggi mengorbankan lebih 2,000 mangsa.

Kampung Siah Ab adalah lokasi berhampiran pusat gempa bumi bermagnitud 6.3 itu terjadi Sabtu lalu, diikuti dengan lapan gegaran susulan.

Jenazah dibungkus kain kafan diturunkan dari ambulans dan diletakkan dalam barisan dan orang ramai melaksanakan solat jenazah.

"Saya mulanya fikir saya mesti bermimpi, semua musnah. Tiada sesiapa yang tinggal," kata penduduk, Ismail, 30.

Di Nayeb Rafi terletak berdekatan dan pernah menjadi kediaman kepada kira-kira 2,000 keluarga, tiada langsung bangunan yang masih berdiri, semuanya rebah.

Hanya ada pemandangan timbunan batu bata lumpur beralun yang pernah menjadi siling dan dinding rumah.

Jengkaut berkembar mencedok serpihan untuk mengambil barang-barang dan mayat kerana harapan untuk mencari mangsa yang terselamat amat tipis di beberapa kawasan terjejas.

Di tempat lain, mereka yang masih optimis terus melakukan kerja menggali.

"Ada keluarga yang tidak mempunyai sesiapa yang masih hidup. Saya mempunyai seramai 20 ahli keluarga tertimbus di dalam runtuhan," kata Ali Mohammad, 50, sambil menambah hanya dua ahli keluarga terselamat kerana kebetulan keluar dari rumah sewaktu gempa bumi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, 100 peratus rumah musnah di 11 kampung di luar bandar daerah Zenda Jan, kira-kira 30 kilometer barat laut bandar Herat, Afghanistan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 3:39 PM