KANAK-KANAK berjalan di atas runtuhan sebuah masjid yang musnah dalam serangan udara Israel di Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza. FOTO Reuters
KANAK-KANAK berjalan di atas runtuhan sebuah masjid yang musnah dalam serangan udara Israel di Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza. FOTO Reuters
Luqman Hakim


Gaza: Sebuah masjid di Palestin yang dibina hasil usaha dan sumbangan rakyat Malaysia musnah, selepas ia dibom oleh tentera rejim Israel, Sabtu lalu.

Dalam catatan di Facebook, Muslim Care Malaysia Society berkata, Masjid Muhammad Al Amin dibina pada 2013 dengan pembiayaan daripada orang ramai.

"Hati kami hancur melihat masjid tersergam indah yang dibiayai oleh rakyat Malaysia musnah akibat serangan bom oleh Israel.

"Pada penghujung 2013, Muslim Care Malaysia mencipta sejarah apabila berjaya membina masjid yang luas dan cantik untuk rakyat Palestin.

"Malangnya, di sebalik semua usaha dan sumbangan rakyat Malaysia, hari ini, 7 Oktober, Masjid Muhammad Al Amin diratakan sepenuhnya dan tidak boleh digunakan lagi," menurut hantaran itu.

Ia berkata, lebih banyak bantuan dan sokongan akan disalurkan untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin.

"Walaupun musnah, semangat jihad umat Islam tidak akan pernah pudar.

"Sekuat mana semangat saudara kita di Palestin, begitu juga dengan kekuatan hati kita untuk kita semua akan terus bersatu," katanya.

Sayap tentera Hamas, Briged Al Qassam, melakukan serangan kompleks menyasarkan penempatan Israel berhampiran Gaza dengan melancarkan lebih 5,000 roket, 'mengejutkan' Israel pada awal pagi Sabtu.

Mereka kemudiannya disertai oleh pejuang Jihad Islam Palestin dan kumpulan pejuang Palestin lain dari Gaza menyusup masuk ke kawasan sempadan dan bertempur dengan tentera Israel.

Serangan yang dinamakan oleh Hamas sebagai 'Banjir Al Aqsa', membuahkan hasil apabila mereka berjaya menguasai penempatan Israel di sempadan.

Sebagai tindak balas, tentera Israel melancarkan 'Operasi Pedang Besi' terhadap kumpulan Hamas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 8:09 AM