KANAK-KANAK tidur sambil berselimut di sebelah rumah yang rosak akibat gempa bumi yang melanda perkampungan Sarbuland di Zendeh Jan, wilayah Herat. FOTO AFP.
KANAK-KANAK tidur sambil berselimut di sebelah rumah yang rosak akibat gempa bumi yang melanda perkampungan Sarbuland di Zendeh Jan, wilayah Herat. FOTO AFP.
AFP

Herat (Afghanistan): Gempa bumi di barat Afghanistan semalam mengorbankan 120 orang dengan 1,000 orang lagi cedera, menurut pihak berkuasa bantuan bencana.

Menurut United States Geological Survey (USGS) pusat gempa dengan magnitud 6.3 berlaku 40 kilometer di barat laut bandar terbesar Herat, diikuti lapan gegaran susulan dengan magnitud antara 4.3 dan 6.3.

Menjelang malam di kampung Sarboland di daerah Zinda Jan, luar bandar Herat, wartawan AFP melihat berpuluh rumah yang telah musnah berhampiran pusat gempa bumi.

Sekumpulan lelaki dengan penyodok pula menggali timbunan batu runtuhan sementara, wanita dan kanak-kanak menunggu di tempat terbuka susulan rumah musnah yang mendedahkan isi dalamnya.

PENDUDUK menggali sisa runtuhan rumah di  perkampungan Sarbuland di Zendeh Jan, wilayah Herat untuk mencari mangsa. FOTO AFP.
PENDUDUK menggali sisa runtuhan rumah di perkampungan Sarbuland di Zendeh Jan, wilayah Herat untuk mencari mangsa. FOTO AFP.

Penduduk Bashir Ahmad, 42, berkongsi pengalaman mendengar bunyi yang sangat kuat dan tidak menunggu lama untuk bertindak. "Dalam gegaran pertama, semua rumah runtuh," katanya.

Nek Mohammad pula memberitahu terdapat mangsa maut selepas terperangkap di dalam runtuhan dan sudah pun dikebumikan

"Ada ahli keluarga yang kami tidak mendengar berita daripadanya." katanya yang memaklumkan dia berada di tempat kerja apabila gempa pertama melanda sekitar jam 11:00 pagi (0630 GMT).

Lelaki berusia 32 tahun berkata, dia bergegas pulang dan melihat tiada apa-apa lagi bangunan dan segalanya sudah bertukar seperti pasir.

Sebaliknya kepulangan itu disambut dengan penemuan kira-kira 30 mayat.

"Setakat ini, kami tidak mempunyai apa-apa. Tiada selimut atau apa-apa lagi. Kami di sini ditinggalkan pada waktu malam bersama syuhada kami," katanya.

Ketua pengurusan bencana wilayah Herat, Mosa Ashari memberitahu AFP bahawa selain kira-kira 120 terbunuh, pihaknya turut merekodkan lebih 1,000 wanita, kanak-kanak dan warga emas yang cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 9:53 AM