FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Canberra: Lelaki maut , manakala rakannya dimasukkan ke hospital di Australia selepas bot kecil dinaiki mereka dilanggar ikan paus ketika mereka memancing, kata pihak berkuasa negara itu.

Al-Jazeera melaporkan, kedua-dua mangsa itu tercampak dari bot selepas dilanggar haiwan itu kira-kira jam 6 pagi waktu tempatan pada Sabtu, di perairan La Perouse, kira-kira 14 kilometer (km) di tenggara Sydney, Australia.

Orang ramai yang menaiki bot kedua membunyikan penggera selepas melihat sebuah kapal sepanjang 4.8 meter yang kosong, kata polis.

Menurut pihak berkuasa, kapten berusia 53 tahun itu diselamatkan di kawasan berhampiran sebelum dirawat oleh paramedik. Dia kemudian dibawa ke hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, mangsa kedua yang berusia 61 tahun ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

"Bot itu kemungkinan terkena ikan paus, menyebabkannya senget..." kata polis dalam satu kenyataan.

Sementara itu, pemangku Superintendan Polis Air Siobhan Munro menyifatkan insiden itu sebagai kemalangan tragis.

Menurut penyiar kebangsaan ABC Australia, Munro berkata, lelaki itu mungkin berada di dalam air selama 45 minit sebelum mereka diselamatkan.

Walaupun Australia mempunyai garis pantai yang luas dan perairannya menjadi habitat 10 spesies ikan paus besar dan 20 spesies ikan paus yang kecil, kematian manusia yang disebabkan oleh haiwan itu, jarang berlaku.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Maritim New South Wales Mark Hutchings berkata, manusia yang berada di permukaan air, perlu berada 100 meter (m) dari ikan paus dewasa, dan 300 m jika ikan paus itu mengiringi seekor anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 1:07 PM