Bernama-Anadolu

Presiden Filipina pada Isnin berkata Manila telah mengemukakan bantahan terhadap China berhubung insiden tembakan meriam air oleh kapal Pengawal Pantai negara itu ke atas kapalnya.

Setiausaha Luar Filipina Enrique Manalo bertemu dengan Duta Besar China Huang Xilian untuk menyatakan bantahan berhubung insiden itu, Agensi Anadolu memetik Presiden Ferdinand Marcos Jr sebagai berkata.

Pada Sabtu, Pengawal Pantai Filipina menyiarkan gambar Pengawal Pantai China menggunakan meriam air terhadap satu daripada kapalnya yang dalam misi membawa bekalan ke Beting Ayungin (Ayungin Shoal) di Laut China Selatan, kawasan yang dituntut oleh China dengan nama Terumbu Renai (Renai Reef). Beijing mengesahkan kejadian itu.

"Kami terus menegaskan kedaulatan kami... kami terus menegaskan hak wilayah kami dalam menghadapi semua cabaran ini dan konsisten dengan undang-undang antarabangsa dan UNCLOS," kata Marcos kepada media, merujuk kepada Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Marcos juga dijangka mempengerusikan mesyuarat persidangan perintah angkatan tentera Filipina untuk membincangkan langkah seterusnya.

Bagaimanapun, Marcos menambah bahawa Filipina "masih perlu terus berkomunikasi dengan kerajaan China, dengan Presiden Xi (Jinping), dengan Beijing. Kami masih perlu terus berkomunikasi dengan mereka kerana kami perlu benar-benar membuat kesimpulan."

Pada Isnin, Pengawal Pantai China berkata, kapal yang ditembaknya telah "tidak menghiraukan peringatan dan amaran berulangnya."

Filipina menghantar dua kapal untuk "menceroboh" ke perairan di terumbu tersebut, melanggar Deklarasi Perilaku Pihak-pihak di Laut China Selatan, dan "cuba membawa bahan binaan untuk penyelenggaraan dan pengukuhan ke kapal tentera yang didaratkan secara haram. Kapal Pengawal Pantai China memintas kapal Filipina secara sah dan mengambil langkah penguatkuasaan amaran," menurutnya dalam satu kenyataan kepada akhbar harian Global Times yang berpangkalan di Beijing.

"Selepas beberapa amaran tidak diendahkan, meriam air digunakan sebagai amaran untuk mengelak konfrontasi langsung. Operasi di perairan itu adalah profesional dan terkawal, dan tiada ruang untuk kritikan," tambahnya.

Marcos berkata, adalah "perkara yang baik tiada siapa yang cedera. Tetapi bekalan yang sampai ke BRP Sierra Madre tidak mencukupi jadi itulah yang perlu kita bincangkan tentang apa yang perlu dilakukan seterusnya."

Sierra Madre ialah kapal era Perang Dunia II yang berkarat dan sengaja diletakkan di beting itu pada tahun 1999 untuk menguatkan tuntutan Filipina terhadap kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 7:35 PM
GAMBAR Pengawal Pantai China menggunakan meriam air terhadap satu daripada kapal Filipina yang dalam misi membawa bekalan ke Beting Ayungin di Laut China Selatan dipaparkan pada sidang media di Manila. FOTO AFP
GAMBAR Pengawal Pantai China menggunakan meriam air terhadap satu daripada kapal Filipina yang dalam misi membawa bekalan ke Beting Ayungin di Laut China Selatan dipaparkan pada sidang media di Manila. FOTO AFP