ASKAR Ukraine memeriksa kenderaan tentera Rusia yang musnah ketika pertempuran di wilayah Donetsk, Ukraine. FOTO Fail REUTERS
ASKAR Ukraine memeriksa kenderaan tentera Rusia yang musnah ketika pertempuran di wilayah Donetsk, Ukraine. FOTO Fail REUTERS
BERNAMA

Tokyo: Seramai 10 pegawai kanan polis Ukraine pada Isnin memulakan program latihan di sini mengenai cara mengenal pasti mayat mangsa perang, lapor Agensi Berita Jepun Kyodo memetik Agensi Polis Negara (NPA) Jepun.

Semasa program lima hari itu, kesemua pegawai polis Ukraine akan menjalani latihan mengenai prosedur bedah siasat beramai-ramai, pengumpulan spesimen dan analisis DNA.

Menerusinya, Ukraine berharap dapat belajar daripada pengalaman Jepun dalam menjalankan bedah siasat besar-besaran selepas negara itu dilanda bencana berganda, gempa bumi-tsunami pada 2011.

Menurut Ukraine, puluhan ribu mayat masih tidak dikenal pasti sejak Rusia memulakan pencerobohannya pada Februari 2022.

Polis Ukraine juga akan belajar tentang pendekatan Jepun terhadap penjagaan kesihatan mental bagi ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang dan pegawai yang terbabit dalam mengenal pasti mayat, kata agensi itu.

Pegawai kanan Ukraine itu akan melawat wilayah Fukushima selama dua hari mulai Khamis dan bertukar pandangan dengan pegawai polis yang terbabit dalam mengenal pasti mayat selepas bencana itu.

Program latihan itu dibuat selepas Kyiv menghubungi Kedutaan Jepun di Ukraine melalui Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada awal Mei, meminta profesional Jepun berkongsi kepakaran mereka dalam mengenal pasti sejumlah besar mayat mangsa perang.

Polis Jepun menyelesaikan bedah siasat ke atas 15,830 mayat dari wilayah Iwate, Miyagi dan Fukushima pada akhir Februari tahun ini, selain mengenal pasti 99.7 peratus daripada mangsa gempa bumi bermagnitud 9.0 dan bencana tsunami yang melanda timur Jepun pada 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 9:14 AM