MASJIDILHARAM, Makkah. FOTO AFP
MASJIDILHARAM, Makkah. FOTO AFP
BERNAMA

Makkah: Tabung Haji (TH) menyasarkan 10,000 penyertaan bagi ibadah korban menerusi perkhidmatan digital THiJARI dan pejabat cawangan, tahun ini.

Pengarah Operasi Kewangan Shamsul Bahar Shamsudin berkata, bayaran korban itu dibuka kepada jemaah haji dan pendeposit di tanah air sejak pertengahan bulan ini hingga 24 Jun depan.

Beliau berkata, bayaran korban pada tahun ini adalah RM900 bagi seekor kibas berbanding RM810 pada tahun lepas.

"Korban kita lakukan dengan kerjasama Islamic Development Bank. Segala-galanya akan diuruskan mereka dengan korban dilakukan di Tanah Suci, manakala daging korban diagihkan di Tanah Suci dan 25 negara lain," katanya kepada pemberita di sini.

Antara negara yang akan diagihkan daging korban ialah Jordan, Palestin, Syria, Mali, Ghana, Bangladesh dan Azerbaijan.

Shamsul Bahar berkata, setakat ini, TH menerima kira-kira 6,500 penyertaan bagi ibadah korban itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, bayaran dam bagi pelaksanaan haji tamatuk dan haji qiran tahun ini adalah RM725 bagi sembelihan seekor kibas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 2:39 PM