PULAU Teluk Jumeirah, sebuah pulau buatan manusia yang boleh diakses melalui jambatan dari tanah besar Dubai. FOTO Agensi
PULAU Teluk Jumeirah, sebuah pulau buatan manusia yang boleh diakses melalui jambatan dari tanah besar Dubai. FOTO Agensi
SEBIDANG tanah pasir kosong dijual pada harga RM156.43 juta. FOTO Knight Frank
SEBIDANG tanah pasir kosong dijual pada harga RM156.43 juta. FOTO Knight Frank
Agensi

Abu Dhabi: Sebidang tanah kosong di sebuah pulau buatan di Dubai dijual pada nilai AS$34 juta (kira-kira RM156.43 juta).

Jualan itu memecahkan rekod yang menjadikan bekas pemiliknya memperoleh keuntungan 242 peratus ke atas hartanah yang belum dibangunkan itu.

Bloomberg melaporkan, tanah berkenaan terletak di Pulau Teluk Jumeirah, sebuah pulau buatan manusia yang boleh diakses melalui jambatan dari tanah besar Dubai.

Tanah seluas 24,500 kaki persegi itu dijual pada harga 125 juta dirham (kira-kira RM156.43 juta) pada 19 April lalu.

Hartanah berpasir itu dijual Umar Kamani, bekas Ketua Pegawai Eksekutif peruncit dalam talian PrettyLittleThing, yang membeli tanah itu dua tahun lalu dengan harga hampir AS$10 juta (kira-kira RM46.01 juta).

Selepas meninggalkan sebidang tanah itu tanpa sebarang pembangunan selama dua tahun, Umar menjual harta itu kepada pembeli yang tidak menetap di Emiriah Arab Bersatu.

Pembelinya dilaporkan mahu membina rumah percutian keluarga di atas pasir.

Broker hartanah Knight Frank, Andrew Cummings menyifatkan jualan itu berada pada paras tinggi baharu, 5,100 dirham (kira-kira RM6,389) setiap kaki persegi yang membolehkan Umar memperoleh keuntungan AS$24 juta (kira-kira RM110.42 juta) hanya dengan memiliki tanah itu selama dua tahun.

"125 juta dirham hanya untuk pasir.

"Biasanya yang menjadi perhatian adalah vila yang menakjubkan dan penthouse yang luar biasa, tetapi jualan ini memang pecah rekod besar-besaran untuk plot tanah," katanya.

Harga terlalu tinggi itu sebahagiannya disebabkan permintaan tinggi untuk tanah di pulau eksklusif berbentuk ladam yang juga dikenali sebagai pulau Bulgari yang menjadi rumah kepada bangunan pencakar langit, hotel dan vila mewah serta marina kapal layar. Sebidang tanah itu juga salah satu daripada 128 plot tanah yang ditawarkan di Pulau Teluk Jumeirah oleh pemaju, Meraas Holding.

Pemaju itu menetapkan plot tanah itu tidak boleh dibahagi-bahagikan sekali gus menjadikan ia lebih eksklusif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 12:17 PM