SISTEM pertahanan Iron Dome memintas roket dilancarkan dari Gaza. FOTO AFP
SISTEM pertahanan Iron Dome memintas roket dilancarkan dari Gaza. FOTO AFP
BERNAMA

Gaza: Serangan bom Israel pada hari kelima semalam, merosakkan kemudahan di Hospital Indonesia yang terletak di Bayt Lahiya, Gaza Utara, kata seorang sukarelawan Indonesia di Semenanjung Gaza.

Kabel elektrik dan sistem penghawa dingin serta siling di beberapa bilik hospital itu runtuh.

"Terdapat kemudahan hospital mengalami kerosakan serius setelah tentera Israel membedil kawasan penduduk di sekitar hospital," kata Farid menerusi sistem pesanan ringkas kepada Medical Emergency Rescue Committee (MER-C) di sini.

Sejak serangan hari pertama pada Selasa, Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan 33 rakyat Palestin termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas terbunuh dan 150 yang lain cedera.

Sejumlah mangsa turut dibawa dan dirawat di Hospital Indonesia, menurut MER-C, organisasi sosial kemanusiaan Indonesia dalam bidang kecemasan perubatan yang ditubuhkan pada 14 Ogos 1999.

Ketua MER-C Sarbini Abdul Murad berkata, serangan ke atas sebuah rumah pada hari sebelumnya turut merosakkan hospital berdekatan iaitu Hospital Syuhada Al Aqsa.

"Kami mengutuk pencerobohan Israel terhadap orang awam Gaza dan serangan yang merosakkan kemudahan kesihatan yang dilindungi undang-undang antarabangsa.

"Kami meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kerjasama Islam dan masyarakat antarabangsa segera menghentikan tindakan melampau Israel," kata Sarbini.

Pihaknya bersedia menghantar pasukan sukarelawan tambahan ke Semenanjung Gaza sekiranya serangan dan jumlah mangsa terus meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 3:33 PM