PASUKAN forensik memeriksa kemusnahan akibat serangan di Semenanjung Gaza. FOTO AFP.
PASUKAN forensik memeriksa kemusnahan akibat serangan di Semenanjung Gaza. FOTO AFP.
Reuters

Baitulmaqdis: Komander Jihad Islam dan timbalannya antara 30 individu terbunuh termasuk kanak-kanak, dalam serangan bertubi-tubi rejim Israel.

Serangan balas roket rentas sempadan Palestin turut menyebabkan kematian pertama di Israel.

Walaupun Mesir berusaha sebagai pengantara bagi rundingan damai, namun kedua-dua pihak nampaknya tidak bersedia untuk meredakan ketegangan yang memasuki hari ketiga, antara terburuk sejak Ogos.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pihaknya berada di kemuncak kempen iaitu menyerang dan bertahan.

"Sesiapa yang datang untuk mencederakan kami, akan mendapat pertumpahan darah," katanya dalam satu kenyataan rakaman video yang dikeluarkan semasa lawatan ke pangkalan udara.

Kematian komander Jihad Islam, Ali Ghali dan timbalannya, Ahmed Abu Daqqa menjadikan jumlah pemimpin kanan Jihad Islam yang terkorban meningkat kepada lima orang.

Dua lelaki bersenjata daripada kumpulan lain maut dalam serangan berasingan pada Khamis, namun identiti mereka yang terkorban di lokasi berbeza masih belum diketahui.

Selain itu, empat wanita dan enam kanak-kanak turut dilaporkan terkorban dalam serangan Israel ke atas Gaza yang berterusan sejak Selasa lalu.

Bagaimanapun pejuang Jihad Islam, kumpulan bersenjata kedua terbesar di Gaza selepas Hamas mengekalkan serangan roket ke atas Israel.

"Kami tidak akan berundur dan pembunuhan itu hanya akan menjadikan kami lebih kuat. Dendam kami berterusan," katanya.

Beratus-ratus roket dilancarkan dengan amaran melalui siren sejauh utara Tel Aviv diberikan kepada penduduk supaya mencari perlindungan.

Menurut jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari berkata, kira-kira 1.5 juta rakyat Israel iaitu 16 peratus daripada penduduk diarahkan berpindah ke tempat perlindungan.

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, berkata lebih 400 roket dilancarkan dari Gaza, manakala Jihad Islam menegaskan mereka bersama rakyat Palestin 'sesekali tidak akan menyerah kalah' biar apa pun berlaku.

Sementara itu, tentera Israel berkata, pemintas peluru berpandu Iron Dome dan sistem pertahanan udara, David Sling digunakan bagi menembak jatuh 96 peratus roket dilancarkan dari Gaza, yang memusnahkan sebuah bangunan kediaman di Rehovot pada Khamis.

Pakar perubatan berkata, seorang lelaki warga emas terbunuh iaitu individu pertama di Israel dalam pusingan terbaharu pertempuran manakala lima orang lagi cedera.

Selepas lebih setahun pertempuran Israel dan Palestin yang mengorbankan lebih 140 rakyat Palestin dan sekurang-kurangnya 19 warga Israel dan warga asing sejak Januari, peningkatan terbaharu itu menarik gesaan antarabangsa untuk melakukan gencatan senjata.

Namun Kaherah, yang menjadi tuan rumah bagi rundingan membabitkan pegawai kanan Jihad Islam, Mohammad al-Hindi mengambil pendekatan berhati-hati mengenai kemungkinan itu.

"Usaha Mesir untuk meredakan keadaan dan meneruskan proses politik masih belum membuahkan hasil," kata Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry kepada pemberita.

Semasa pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Jordan, Perancis dan Jerman di Berlin, Shoukry menggesa negara memperjuangkan keamanan untuk campur tangan serta menghentikan serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 3:53 PM