ORANG ramai menyertai ‘perang air’ menjelang perayaan Songkran di Bangkok. FOTO AFP
ORANG ramai menyertai ‘perang air’ menjelang perayaan Songkran di Bangkok. FOTO AFP
BERNAMA

Bangkok: Kepulangan beramai-ramai perantau yang menetap dan bekerja di Bangkok ke kampung halaman masing-masing menandakan bermulanya sambutan perayaan Songkran di Thailand.

Lapangan terbang dan stesen kereta api serta bas sesak dengan perantau yang mahu pulang ke kampung sempena cuti Songkran yang bermula hari ini hingga 17 April.

Gabenor Kereta Api Negara Thailand (SRT), Nirut Maneepan berkata, dianggarkan 77,000 penumpang menggunakan perkhidmatan kereta api di Bang Sue Grand Station di Bangkok.

"Selain itu, perkhidmatan kereta api ditambah bagi memenuhi permintaan semasa cuti Songkran. Empat perkhidmatan kereta api ditambah termasuk ke Chiang Mai dan Ubon Thani," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden Radio Aeronautik Thailand (Aerothai), Nopasit Chakpitak berkata, terdapat 14,180 penerbangan domestik dan antarabangsa akan dikendalikan mulai Selasa hingga 17 April.

"Terdapat kira-kira 2,026 penerbangan sehari mendarat dan berlepas dari lapangan terbang di seluruh negara dalam tempoh yang sama," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Transport Co Ltd, Sanyalak Panwattanalikhit berkata, pada semalam sahaja, Terminal Bas Bangkok sesak dengan kira-kira 60,000 perantau.

"Kira-kira 4,500 perjalanan bas disediakan untuk penumpang yang berlepas dari Bangkok semasa cuti Songkran," katanya.

Perayaan Songkran ialah perayaan tahun baru tradisi Thailand dan disambut dari 13 hingga 15 April.

Cuti Songkran tahun ini bermula pada 13 hingga 17 April.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 7:49 AM