PENGAWAL sempadan Israel di salah satu pintu Kota Lama Baitulmaqdis. FOTO AFP
PENGAWAL sempadan Israel di salah satu pintu Kota Lama Baitulmaqdis. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menggerakkan pasukan simpanan polis dan tentera pada Jumaat selepas serangan berasingan mengorbankan tiga orang, termasuk seorang pelancong Itali, di Tebing Barat dan Tel Aviv.

Keganasan meningkat sejak polis Israel bertempur dengan penduduk Palestin pada Rabu di dalam Masjid Al-Aqsa, di sini, dengan Israel mengebom kedua-dua Gaza dan Lubnan berikutan tembakan roket oleh pejuang Palestin.

Ketegangan terbaharu berlaku semasa perayaan Yahudi, Passover (Paskah) dan Ramadan.

Terdahulu, pada Jumaat, dua saudara perempuan British-Israel berusia 16 dan 20 tahun terbunuh, dan ibu mereka parah dalam serangan tembakan di Tebing Barat yang diduduki.

Tentera Israel berkata, pihaknya sedang memburu suspek terbabit.

Kemudian, di tengah Tel Aviv, seorang lelaki terbunuh dan tujuh individu berumur antara 17 dan 74 cedera apabila sebuah kereta merempuh orang yang berjalan di laluan berbasikal di sepanjang pinggir laut, dan terbalik, kata perkhidmatan penyelamat dan polis Israel.

"Semua mangsa adalah pelancong," kata perkhidmatan kecemasan Magen David Adom.

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni mengesahkan mangsa yang maut itu sebagai Alessandro Parini, 36.

Hospital Ichilov di Tel Aviv berkata, pihaknya menerima tiga rakyat Britain dan seorang warga Itali cedera.

Sementara itu, jurucakap polis memberitahu AFP bahawa individu itu sudah dineutralkan dan ia adalah serangan terhadap orang awam serta membabitkan rempuhan kereta.

Tidak lama selepas itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengarahkan polis Israel mengerah semua unit (polis sempadan simpanan) dan pasukan pertahanan Israel (IDF) untuk menggerakkan pasukan tambahan..

Datuk Bandar Efrat,Oded Revivi pula mengesahkan mangsa yang maut dalam insiden tembakan di Tebing Barat adalah gadis warga Israel berusia 16 dan 20 tahun, dan wanita yang cedera adalah ibu mereka.

Seorang diplomat Britain kemudian mengesahkan bahawa kedua-duanya juga memegang pasport United Kingdom (UK) sambil menyeru semua pihak mengurangkan ketegangan.

Serangan pada Jumaat berlaku selepas Israel melancarkan serangan udara dan pengeboman artileri sebelum subuh sebagai tindak balas terhadap tembakan roket dari Semenanjung Gaza dan Lubnan.

"Israel menyerang sasaran, termasuk infrastruktur keganasan, milik organisasi pengganas Hamas di selatan Lubnan," kata tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 9:58 AM