KERAJAAN wilayah ditugaskan untuk penyeliaan dan pemeriksaan mengejut di kemudahan perubatan. FOTO Reuters
KERAJAAN wilayah ditugaskan untuk penyeliaan dan pemeriksaan mengejut di kemudahan perubatan. FOTO Reuters
Reuters

Beijing: China merancang untuk membuat pemeriksaan mengejut secara rawak di kemudahan perubatan di negara itu bagi mengesan kes Covid-19 yang tidak lengkap dan kurang dilaporkan.

Dalam langkah baharu yang diumumkan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, kerajaan wilayah akan ditugaskan dengan penyeliaan secara rawak setiap hari.

Langkah ini membabitkan pemeriksaan meliputi pelbagai bidang termasuk pengurusan vaksinasi di institusi perubatan dan kesihatan termasuk menyemak penerimaan dan penyimpanan vaksin baharu.

Kerajaan juga diminta memantau sama ada laporan jangkitan virus disembunyikan, ditangguhkan atau salah lapor dan meningkatkan pengurusan sisa perubatan dan pengurusan biosekuriti makmal mikrobiologi patogenik.

Pihak berkuasa kesihatan berkata, kerajaan tempatan harus mencari sokongan kewangan secara aktif untuk memastikan pembiayaan bagi kos sekitar pemeriksaan rawak.

Selama berbulan-bulan, negara menghadapi tekanan daripada negara dan pakar kesihatan untuk mendedahkan dan menjadi lebih terbuka melaporkan data Covid-19 terutama angka rasmi kemasukan ke hospital dan kematian teruk.

Baru-baru ini, penasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa China mengeluarkan semua maklumat berkaitan asal usul virus Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 3:47 PM