FOTO fail menunjukkan bayi diberi vaksin polio di Banda Aceh pada November 2022. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan bayi diberi vaksin polio di Banda Aceh pada November 2022. FOTO AFP
BERNAMA

Jakarta: Kerajaan wilayah Jawa Barat akan memulakan kempen vaksinasi polio pada 3 April selepas pihak berkuasa mengesahkan seorang kanak-kanak di daerah Purwakarta dijangkiti penyakit itu.

Dalam satu kenyataan, Gabenor Ridwan Kamil berkata, kempen imunisasi selama sebulan itu menggunakan vaksin polio oral yang dititiskan ke dalam mulut, menyasarkan empat juta kanak-kanak.

Perkhidmatan Kesihatan Jawa Barat akan mengetuai kempen itu dengan sokongan daripada Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk membasmi polio," katanya.

Kempen vaksinasi itu dijalankan selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dari kampung Tegal Datar, mukim Maniis, disahkan menghidap Vaccine-Derived Poliovirus Type-2, pada 14 Mac.

Seminggu kemudian, Kementerian Kesihatan mengumumkan pihaknya memantau rapat 20 kanak-kanak yang terdedah kepada gadis itu.

Polio ialah virus yang berjangkit yang disebarkan melalui air atau makanan yang tercemar atau sentuhan dengan orang yang dijangkiti, dengan kebanyakannya menyerang kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang boleh menyebabkan lumpuh.

Tahun lalu, lebih 1.2 juta kanak-kanak di wilayah Aceh divaksinasi berikutan penemuan empat kes polio di daerah Pidie pada awal November.

Indonesia disahkan bebas daripada virus polio liar oleh WHO pada tahun 2015, tetapi liputan imunisasi yang rendah di negara ini, terutama semasa pandemik, membantut usaha ke arah pembasmian polio.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 7:39 AM