PASUKAN penyelam mencari kepala mangsa yang dipercayai dibuang suspek ke dalam tasik.  FOTO Agensi
PASUKAN penyelam mencari kepala mangsa yang dipercayai dibuang suspek ke dalam tasik. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Lelaki Thailand ditahan polis kerana membunuh dan memenggal kepala bapa saudaranya di wilayah Songkhla di selatan Thailand.

Pegawai di Balai Polis Rattaphum menerima laporan mengenai pembunuhan di belakang sebuah rumah di mukim Khao Phra, jam 8 pagi, kelmarin.

Portal The Thaiger melaporkan, polis menemui mayat Wasana, 56, dalam keadaan terbaring tanpa kepala di tempat kejadian.

Saksi memberitahu polis pelaku adalah anak saudara kepada Wasana iaitu Ek, 36, yang tinggal berdekatan.

Polis menahan Ek di rumahnya dan merampas sebilah pisau sepanjang 30 sentimeter yang digunakan untuk melakukan jenayah itu.

Ek tidak melawan ketika ditahan, kata polis.

Ek mengaku membunuh bapa saudaranya dan memenggal kepalanya.

Ek berkata, dia memasukkan kepala Wasana ke dalam beg plastik, berjalan melalui ladang getah, dan membuangnya ke dalam kolam kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Polis menemui kesan darah di dinding, darah besar di belakang dapur tempat pembunuhan berlaku, kesan darah dari tempat Ek mengheret mayat Wasana dan melakukan pemenggalan kepala, dan kesan darah di dalam rumah si mati.

Individu yang bekerja berhampiran kolam itu memberi keterangan dia melihat Ek berpaut pada batang kayu dan berenang ke tengah kolam, semalam.

Pekerja itu bertanya kepada Ek apa yang dilakukan dan Ek berkata, "bersenam". Pekerja itu berkata, dia tidak menyedari apa yang baru berlaku jadi dia membiarkannya sahaja.

Penyelam dari Unit Penyelamat Yayasan Persahabatan Tongxia Xiang Tung di Hat Yai menyusuri tasik di mana Ek berkata dia membuang kepala Wasana.

Pasukan itu melakukan selaman selama berjam-jam semalam tetapi tidak menemui kepala mangsa.

Ek memberitahu polis, dia memenggal kepala bapa saudaranya kerana marah kerana dia menyakiti bapanya dan mencuri televisyen.

Bagaimanapun, polis tidak mempercayai dakwaan itu kerana keadaannya yang tidak tentu hala dan mempunyai rekod serius penyalahgunaan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 11:28 AM