TENTERA Korea Selatan mengawal kawasan di Paju yang bersempadan dengan Korea Utara. FOTO AP
TENTERA Korea Selatan mengawal kawasan di Paju yang bersempadan dengan Korea Utara. FOTO AP
AFP

Seoul: Korea Utara melancarkan tembakan kali kedua peluru berpandu balistik, hari ini.

Ketua Turus Bersama Seoul dalam satu kenyataan mengesahkan tembakan berkenaan.

"Korea Utara menembak peluru berpandu balistik yang tidak dikenali ke arah Laut Timur," katanya.

Pelancaran itu dibuat hanya beberapa hari selepas Pyongyang melepaskan dua peluru berpandu jelajah strategik dari sebuah kapal selam dalam protes jelas terhadap latihan Amerika Syarikat (AS) - Korea Selatan.

Ia adalah pelancaran kedua dalam tempoh tiga hari dan pertama, sejak Korea Selatan dan AS memulakan latihan ketenteraan bersama terbesar mereka sepanjang lima tahun.

Washington dan Seoul sudah meningkatkan kerjasama pertahanan dalam menghadapi ancaman ketenteraan dan nuklear yang semakin meningkat dari Utara, yang menjalankan beberapa siri ujian senjata terlarang semakin provokatif, dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Dikenali sebagai Freedom Shield, latihan itu bermula Isnin dan akan berlangsung selama 10 hari sebagai sebahagian daripada usaha sekutu untuk menentang ancaman Korea Utara yang semakin meningkat.

Dalam satu langkah yang jarang berlaku, tentera Seoul bulan ini mendedahkan, unit pasukan khas sekutu itu mengadakan latihan ketenteraan membabitkan simulasi serangan tepat ke atas kemudahan utama di Korea Utara.

Latihan Freedom Shield memberi tumpuan kepada persekitaran keselamatan yang berubah akibat pencerobohan berganda Korea Utara, kata sekutu.

Tentera Korea Selatan berkata, ia membabitkan prosedur masa perang untuk menangkis potensi serangan Korea Utara dan menjalankan kempen penstabilan di Korea Utara.

"Latihan itu adalah pertahanan berdasarkan rancangan operasi gabungan," kata tentera.

Bagaimanapun, Korea Utara melihat semua latihan itu sebagai latihan pencerobohan dan berulang kali memberi amaran mereka akan mengambil tindakan terlalu besar sebagai tindak balas.

Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, awal bulan ini, mengarahkan tenteranya untuk mempergiat latihan bagi persediaan menghadapi perang sebenar.

Penganalisis yang juga bekas jeneral tentera Korea Selatan, Chun In-bum berkata, Korea Utara mungkin akan menggunakan latihan itu sebagai alasan untuk menjalankan lebih banyak pelancaran peluru berpandu termasuk ujian nuklear.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 10:43 AM