PEMANDANGAN padang pasir yang ditumbuhi bunga berwarna ungu. FOTO Agensi
PEMANDANGAN padang pasir yang ditumbuhi bunga berwarna ungu. FOTO Agensi
AFP

Riyadh: Cuaca sejuk diiringi hujan lebat menjadikan kawasan padang pasir di utara Arab Saudi ditumbuhi bunga ungu hingga menarik kehadiran pengunjung dari seluruh Semenanjung negara ini.

Seorang daripadanya adalah Muhammad al-Mutairi yang sanggup memandu hampir enam jam dari kampung halamannya di tengah Arab Saudi untuk melihat keindahan pemandangan itu.

"Tiada siapa menjangkakan ia berlaku di Arab Saudi," kata pesara guru berusia 50 tahun itu kepada AFP sambil meninjau padang pasir di sekitar Rafha, dekat dengan sempadan Iraq.

"Bau dan pemandangannya amat menenangkan jiwa," katanya mengenai tumbuhan yang dikenali dalam bahasa Arab sebagai lavender liar.

Hujan musim sejuk membawa banjir di bahagian barat Arab Saudi akhir tahun lalu, tetapi di bahagian utara ada tumbuhan yang membiak di tengah padang pasir.

Nasser al-Karaani mengembara sejauh 770 kilometer dari bandar ini untuk melihat bunga berwarna-warni itu sebelum layu.

"Ia berlaku dalam tempoh antara 15 hingga 20 hari setahun, dan kami datang ke sini khusus untuk menikmatinya," kata ahli perniagaan Saudi berusia 55 tahun itu.

Dia memunggah khemah dari kenderaan empat rodanya bersama sekumpulan rakan sebelum berkumpul di sekitar api sambil menikmati secawan teh panas.

"Suasana ini membuatkan saya berasa tenang," kata Karaani yang memakai jaket tebal di atas pakaian tradisionalnya.

Di seberang padang pasir, pelawat memasang khemah dan memasak makanan di atas api.

PENDUDUK mengambil peluang bersantai sambil minum teh di tengah-tengah padang pasir ditumbuhi bunga berwarna ungu. FOTO Agensi
PENDUDUK mengambil peluang bersantai sambil minum teh di tengah-tengah padang pasir ditumbuhi bunga berwarna ungu. FOTO Agensi

Penduduk di kawasan itu menempatkan unta jauh dari kawasan itu untuk menghalang mereka memakan bunga yang menarik perhatian pelancong.

Hamza al-Mutairi, yang berkhemah dengan rakan-rakan berkata, dia berasa tenang dengan pemandangan semula jadi itu.

"Ia memberi seseorang motivasi baharu untuk hidup," kata warga Saudi berusia 56 tahun itu.

Sementara, Abdul Rahman al-Marri berkata dia memandu jauh dari negara asalnya Qatar untuk melihat bunga yang berkembang mekar.

"Pemandangan itu berbaloi dengan perjalanan lebih 12 jam. Seolah-olah anda berada di syurga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 10:55 AM