IMEJ janaan komputer menunjukkan ilustrasi Istana Presiden baharu di Nusantara. FOTO AFP
IMEJ janaan komputer menunjukkan ilustrasi Istana Presiden baharu di Nusantara. FOTO AFP
BERNAMA

Jogjakarta: Ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan Timur yang berkongsi sempadan dengan Sarawak dan Sabah di Malaysia dijangka dapat membantu meningkatkan lagi aktiviti pelancongan antara kedua-dua negara.

Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Uno berkata, pemindahan ibu negara dari Jakarta akan memberi manfaat dan meningkatkan ekonomi bukan sahaja buat Indonesia, malah juga untuk Malaysia menerusi peningkatan jumlah ketibaan pelancong.

"Saya fikir ia situasi sama menang kerana aktiviti pelancongan akan meningkat di bahagian negara itu. Dijangka berlaku aliran pelancong dan berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi tempatan.

"Kami (Indonesia) juga percaya bahawa ini akan mewujudkan pengimbangan semula pertumbuhan bukan sahaja di Jawa tetapi juga memberi manfaat kepada Kalimantan dan Indonesia secara keseluruhan.

"Saya amat percaya ini juga akan membawa "kesan domino" dengan limpahan pelancong ke kedua-dua hala," kata beliau dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di luar Forum Pelancongan Asean (ATF) 2023 yang diadakan di sini dari 3 hingga 5 Februari.

Bertemakan "Asean: A Journey to Wonderful Destinations", ATF 2023, acara pelancongan terbesar di rantau ini yang bertujuan untuk membangunkan destinasi utama pelancongan serantau serta antarabangsa selain mengukuhkan kedudukan Asean sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan.

Pada Januari tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan rasmi ke republik itu juga menyatakan bahawa pembangunan ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan akan memberi manfaat kepada ekonomi serantau di negeri-negeri Malaysia timur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 8:36 AM