Sekolah Rendah Nanyang
Sekolah Rendah Nanyang
Agensi

Singapura: Kira-kira 53 murid dan dua kakitangan Sekolah Rendah Nanyang mengalami simptom pernafasan akut seperti demam, batuk, hidung berair dan sakit tekak, hingga tengah hari kelmarin.

Sebahagian besar diuji positif bagi influenza namun, Kementerian Kesihatan (MOH) tidak mendedahkan berapa ramai diuji positif virus berkenaan.

Dua murid dimasukkan ke hospital tetapi dibenarkan keluar, kata jurucakap MOH.

Kementerian itu berkata ia sedang berhubung rapat dengan sekolah berkenaan untuk memberi nasihat mengenai langkah kawalan jangkitan.

Beberapa kelas di sekolah itu mengikuti pembelajaran dari rumah selama dua hari bermula kelmarin, selepas beberapa kes demam, batuk dan sakit tekak dikesan sejak Jumaat lalu.

Pengetua sekolah itu, Wong Li Peng berkata, premis sekolah sudah disanitasi dan beliau memberhentikan perhimpunan fizikal pagi dan mengurangkan aktiviti berkumpulan.

"Keselamatan anak-anak amat penting dan kami akan melakukan apa yang perlu untuk memastikan semua langkah berjaga-jaga diambil," katanya seperti dilaporkan CNA.

Ibu bapa murid juga diberitahu bahawa sekolah itu akan membersihkan dan mensanitasi bilik darjah serta kawasan biasa, dan guru akan mengingatkan murid supaya mengamalkan kebersihan baik, termasuk kerap mencuci tangan dan mengelap permukaan.

Menurut MOH, kes influenza di Singapura biasanya meningkat pada pertengahan tahun (Mei hingga Julai) dan akhir tahun (November hingga Januari).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 5:50 PM