PESAWAT IndiGo.
PESAWAT IndiGo.
Agensi

New Delhi: Menteri Penerbangan Awam, Jyotiraditya Scindia mengesahkan penumpang yang secara tidak sengaja membuka pintu kecemasan sebuah pesawat IndiGo, bulan lalu, adalah pemimpin parti politik BJP, Tejasvi Surya.

Scindia mengesahkan perkara itu dan menyampaikan permohonan maaf wakil rakyat Karnataka itu atas perbuatannya itu.

"Penting berhati-hati dalam membuat kenyataan. Lihatlah fakta.

"Pintu terbuka secara tidak sengaja, semua pemeriksaan sudah dilakukan dan hanya selepas itu, pesawat dibenarkan berlepas.

"Beliau juga meminta maaf atas kesilapannya itu," katanya kepada pemberita.

Pengesahan Scindia itu sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dan kecaman terutama daripada pihak pembangkang.

Sebelum ini, IndiGo berkata, seorang penumpang secara tidak sengaja membuka pintu kecemasan penerbangan 6E 7339 yang dijadualkan berlepas dari Chennai ke Tiruchirapalli, pada 10 Disember lalu.

Insiden itu berlaku semasa proses menaiki pesawat, ketika pesawat itu berada di landasan di lapangan terbang di Chennai.

Penumpang itu meminta maaf, kata syarikat penerbangan itu.

Pegawai berkata, penerbangan itu ditangguhkan selama lebih dua jam kerana pesawat itu berlepas ke destinasinya, Tiruchirapalli, hanya selepas pemeriksaan kejuruteraan ketat dilakukan.

"Surya menyandarkan tangannya di pintu yang menyebabkan kunci pintu keluar itu terbuka," kata pegawai itu.

Beberapa pemimpin pembangkang mempertikaikan mengapa Surya terlepas daripada tindakan dengan hanya permohonan maaf semata-mata dan tidak menghadapi tindakan lebih serius.

Ketika kejadian, Surya dalam penerbangan bersama ketua BJP Tamil Nadu, K Annamalai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 10:10 AM