Orang ramai di pusat pemeriksaan sempadan China-Hong Kong. - FOTO Reuters
Orang ramai di pusat pemeriksaan sempadan China-Hong Kong. - FOTO Reuters
AFP

Beijing: China menarik balik keperluan kuarantin untuk pelancong yang masuk ke negara berkenaan mulai hari ini, menamatkan polisi yang dilaksanakan sejak hampir tiga tahun lalu walaupun negara itu menghadapi lonjakan kes Covid-19.

Orang pertama yang tiba melahirkan rasa lega kerana tidak perlu menjalani kuarantin yang melelahkan itu.

Di Hong Kong, di mana sempadan dengan tanah besar China dibuka semula selepas bertahun-tahun ditutup, lebih 400,000 orang dijangka mengembara ke utara dalam lapan minggu akan datang.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong Shanghai, seorang wanita bernama Pang memberitahu AFP dia teruja dengan kemudahan perjalanan.

"Saya fikir ia sangat bagus bahawa dasar itu telah berubah sekarang, ia benar-benar berperikemanusiaan," katanya kepada AFP.

"Ia adalah satu langkah yang perlu saya fikir. Covid-19 telah menjadi normal sekarang dan selepas halangan ini semuanya akan lancar," katanya.

Rakyat China bergegas untuk merancang perjalanan ke luar negara selepas pegawai bulan lalu mengumumkan bahawa kuarantin akan dihentikan, menyebabkan pertanyaan mengenai laman web pelancongan popular terus meningkat.

Tetapi peningkatan yang dijangkakan dalam pelawat telah menyebabkan banyak negara mengenakan ujian Covid-19 mandatori ke atas pelancong China.

China menyifatkan sekatan perjalanan yang dikenakan oleh negara lain "tidak boleh diterima", walaupun ia terus menyekat pelancong asing dan pelajar antarabangsa daripada melancong ke negara itu.

Wabak Covid-19 di China diramalkan akan bertambah buruk apabila ia memasuki cuti Tahun Baru Cina bulan ini, di mana berjuta-juta orang dijangka pergi dari bandar-bandar besar yang terjejas ke luar bandar untuk melawat saudara-mara yang lebih tua yang berisiko dijangkiti wabak berkenaan.

.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 4:12 PM