LELAKI memakai pakaian perlindungan diri ketika menunggang kenderaannya di sebuah kejiranan yang dikenakan sekatan pergerakan di Beijing pada 7 Disember lalu. FOTO AFP
LELAKI memakai pakaian perlindungan diri ketika menunggang kenderaannya di sebuah kejiranan yang dikenakan sekatan pergerakan di Beijing pada 7 Disember lalu. FOTO AFP
Agensi

Beijing: Selepas seminggu rusuhan terhadap kawalan ketat sifar Covid-19, China akhirnya menarik balik beberapa peraturan termasuk memaksa pesakit ke pusat kuarantin.

Pesakit Covid-19 kini boleh mengasingkan diri di rumah dan bukannya di kemudahan negeri, jika mereka mempunyai gejala ringan atau tiada bergejala.

Mereka juga tidak perlu lagi menunjukkan ujian untuk kebanyakan tempat dan boleh melakukan perjalanan dengan lebih bebas dalam negara.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China mengumumkan sebahagian besar kebebasan baharu itu, semalam.

Menurut suruhanjaya itu, ujian calitan akan menggantikan ujian PCR dalam kebanyakan senario di mana keputusan diperlukan, walaupun PCR masih diperlukan untuk sekolah, hospital dan rumah penjagaan.

Sekatan pergerakan akan diteruskan tetapi hanya perlu digunakan untuk kawasan yang lebih disasarkan seperti bangunan, unit atau tingkat tertentu, berbanding keseluruhan kawasan kejiranan atau bandar yang ditutup.

Kawasan yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi akan bebas daripada sekatan dalam tempoh lima hari, jika tiada kes baharu.

Sekolah boleh terus dibuka dengan kehadiran pelajar, jika tiada wabak kampus yang lebih luas.

Garis panduan baharu itu juga termasuk larangan ketat untuk menyekat pintu keluar dan pintu kebakaran.

Itu berikutan laporan tentang orang yang dikurung dalam rumah mereka semasa gempa bumi dan bangunan ditutup di bawah langkah sekatan pergerakan.

Rusuhan, baru-baru ini, dicetuskan apabila ada kes kebakaran maut di barat wilayah Xinjiang.

Pengkritik berkata, mangsa tidak dapat melarikan diri dari bangunan kerana langkah sekatan pergerakan itu, namun kerajaan menafikan perkara itu.

Sebelum ini, China memaksa pesakit Covid-19 dan kontak rapat ke pusat kuarantin.

Peraturan ini sangat tidak popular kerana ia memisahkan keluarga dan memindahkan pesakit Covid-19 dari rumah mereka.

Beberapa pusat juga dilaporkan mempunyai keadaan daif termasuk bilangan kakitangan yang tidak mencukupi.

Video sepanjang tahun menunjukkan pengawal mengheret orang keluar dari rumah mereka kerana enggan pergi ke pusat kuarantin.

Rakaman yang tular dipercayai dirakam dari Hangzhou minggu lalu itu menunjukkan seorang lelaki melawan pegawai terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 12:09 PM