UNTA yang menang pertandingan ‘ratu cantik’ unta di Qatar. FOTO Reuters
UNTA yang menang pertandingan ‘ratu cantik’ unta di Qatar. FOTO Reuters
Reuters

Doha: Ketika satu dunia bertumpu kepada Piala Dunia Fifa di Qatar, festival unta tercantik tidak kurang hebatnya menjadi perhatian di negara Teluk itu.

Menariknya, festival kecantikan itu menghimpunkan semua unta di seluruh negara Teluk bertanding dalam program anjuran Kelab Unta Mzayen Qatar di Ash-Shahaniyah.

Presiden kelab itu, Hamad Jaber Al Athba berkata, idea berkenaan diinspirasikan dari Piala Dunia.

"Ideanya sama dengan Piala Dunia bola sepak, kami melaksanakan Piala Dunia kecantikan unta," katanya.

UNTA yang mengambil bahagian. FOTO Reuters
UNTA yang mengambil bahagian. FOTO Reuters

Beliau berkata, unta adalah 'sahabat' semasa permulaan tamadun di Teluk.

"Persaingan antara unta sangat sengit dengan kategori yang berbeza mengikut umur dan jenis.

"Unta hitam dinilai mengikut saiz badan dan kepala dan lokasi telinga.

"Tetapi dengan unta jenis Maghateer, ada penilaiannya apabila telinga harus jatuh ke bawah bukan berdiri tegak, selain mulut melengkung," katanya.

UNTA yang mengambil bahagian. FOTO Reuters
UNTA yang mengambil bahagian. FOTO Reuters

Presiden jawatankuasa itu berkata, pemilik kadangkala menggunakan pengisi (filler) Botox atau silikon untuk meningkatkan peluang unta mereka menang yang disifatkannya sebagai permainan keji yang mengakibatkan peserta kehilangan kelayakan.

Katanya, jawatankuasa perubatan memeriksa haiwan itu sebelum membenarkan ia menyertai pertandingan ratu cantik itu bagi mengelak penipuan dan mengesan pembedahan kosmetik.

Menjelang pengisytiharan pemenang bagi kategori yang dipertandingkan, unta betina diperah susu dan pemilik yang menghasilkan paling banyak susu diberi ganjaran 20,000 riyal Qatar (RM24,255.46).

Namun, semua mata bertumpu kepada persaingan sengit antara unta jenis Maghateer berumur empat tahun ke atas dengan pemenangnya menerima wang tunai 10 kali lebih tinggi.

Pemilik unta Arab Saudi yang memenangi gangsa dan emas dalam pertandingan itu, Mohanna Ibrahim Al Anazi, berasa teruja selepas menerima hadiahnya.

"Saya tidak dapat menggambarkan perasaan saya kerana unta ini mempunyai penonton seperti Real Madrid atau Manchester United.

"Dengan kemenangan ini semua orang meraikannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 11:41 AM