JACK Ma. FOTO fail Reuters
JACK Ma. FOTO fail Reuters
AFP

Tokyo: Selepas China mengambil tindakan keras terhadap isu sektor teknologi, pengasas Alibaba, Jack Ma yang menghilangkan diri dari negara itu dikesan menetap di ibu negara Jepun.

Financial Times yang memetik beberapa sumber melaporkan, jutawan itu mengekalkan hidup sederhana sejak pengawal selia China membatalkan usaha tawaran awal permulaan (IPO) Kumpulan Ant dikawal Ma dan mendenda Alibaba dengan jumlah amat besar, enam bulan lalu.

Ahli perniagaan itu dilaporkan menghabiskan sebahagian besar daripada enam bulan lalu bersama keluarganya di Tokyo dan tempat lain di Jepun, selain melancong ke Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Akhbar Britain itu melaporkan, Ma sering mengunjungi beberapa kelab ahli persendirian di Tokyo dan menjadi pengumpul tegar seni moden Jepun serta meneroka minat perniagaan dalam bidang kelestarian.

Ma turut dikesan di tempat lain sejak beliau hilang dari pandangan umum di China termasuk di Pulau Mallorca, Sepanyol, tahun lalu.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa China menyasarkan dakwaan amalan antipersaingan oleh beberapa nama terbesar negara itu selepas wujud kebimbangan firma Internet utama mengawal terlalu banyak data dan berkembang terlalu cepat.

Julai ini, laporan berkata, Ma merancang untuk menyerahkan kawalan Kumpulan Ant untuk menenangkan pengawal selia China dan menghidupkan semula tawaran awam permulaan unit pembayaran digital itu.

Gergasi e-dagangnya Alibaba melaporkan, pertumbuhan pendapatannya mendatar pada Ogos lalu untuk kali pertama, ketika China menghadapi kelembapan ekonomi dan kes Covid-19 yang meningkat semula.

Pihak berkuasa AS juga meletakkan syarikat itu dalam senarai pemerhatian yang mungkin menyaksikan ia disenarai hitam di New York, jika tidak mematuhi perintah pendedahan hingga menyebabkan sahamnya merosot.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 10:35 AM