BOMBA Palestin memadam kebakaran di bangunan berkenaan di kem pelarian Jabalia. FOTO AFP
BOMBA Palestin memadam kebakaran di bangunan berkenaan di kem pelarian Jabalia. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Kebakaran besar yang berlaku di sebuah rumah di utara bandar Gaza dipercayai akibat bahan api, mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang termasuk tujuh kanak-kanak, kata sumber rasmi dan perubatan.

Penyokong Islam Hamas yang mengawal kawasan Palestin yang dijajah Israel berkata, anggota bomba berjaya mengawal kebakaran di Jabalia, sebelum ia dipadamkan.

Unit pertahanan awam Gaza mengesahkan dalam satu kenyataan, seramai 21 orang terbunuh.

Ketua Hospital Indonesia di Jabalia, Saleh Abu Laila memberitahu AFP, fasiliti itu menerima sekurang-kurangnya tujuh mayat kanak-kanak.

Walaupun punca kebakaran masih tidak diketahui, jurucakap unit pertahanan awam memberitahu AFP, siasatan awal berkemungkinan disebabkan bekalan bahan api disimpan di dalam rumah.

Presiden Palestin Mahmud Abbas yang berpangkalan di Tebing Barat yang dijajah Israel menganggap kebakaran itu sebagai "tragedi negara," kata jurucakapnya.

"Abbas mengisytiharkan hari berkabung pada Jumaat dengan bendera dikibarkan separuh tiang dan menawarkan menghantar bantuan kepada keluarga mangsa bagi meringankan penderitaan mereka," kata jurucakap Nabil Abu Rudeineh dalam satu kenyataan.

Pegawai kanan Pihak Berkuasa Palestin (PA) Hussein Al Sheikh menggesa Israel membuka lintasan Erez yang menghubungkan Gaza dengan selatan Israel yang biasanya ditutup pada waktu malam.

"Ini akan membolehkan penghantaran pesakit yang parah untuk menerima rawatan di luar Semenanjung Gaza jika perlu," kata Al Sheikh.

Jurucakap Cogat, unit kementerian pertahanan Israel yang menguruskan lintasan Erez, memberitahu AFP, Israel akan memberikan bantuan mengikut keperluan melalui titik transit.

Jabalia adalah kem pelarian, tetapi seperti kebanyakan kem Palestin, ia meliputi bangunan besar dan dalam banyak aspek menyerupai sebuah bandar.

Orang ramai kekal di jalanan dengan beratus-ratus polis dan pekerja kecemasan berusaha menyelamatkan selepas api dipadamkan.

Gaza mempunyai kepadatan penduduk dengan 2.3 juta orang berada di bawah sekatan Israel sejak 2007, satu langkah yang menurut Israel perlu untuk membendung ancaman daripada kumpulan bersenjata di kawasan itu.

Dengan bekalan elektrik yang terhad, kebakaran domestik adalah perkara biasa kerana penduduk Gaza mencari sumber alternatif untuk memasak dan cahaya termasuk lampu minyak tanah.

Tahun ini, Gaza menerima purata 12 jam bekalan elektrik setiap hari, meningkat daripada hanya tujuh jam lima tahun lalu, menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Bahaya baharu pada musim sejuk apabila ramai orang membakar arang batu untuk pemanasan haba.

Hamas berkata, siasatan sedang dijalankan untuk menentukan punca kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 10:54 AM