PESAWAT Airbus, A380. FOTO Agensi
PESAWAT Airbus, A380. FOTO Agensi

Kuala Lumpur: Syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines menghantar semula pesawat Airbus, A380 miliknya ke tempat simpanan jangka masa panjang di Tarbes, Perancis.

Berdasarkan laporan Avian Source, pesawat pertama yang dihantar ke Tarbes mendarat pada 3.12 petang waktu tempatan (Perancis).

Malaysia Airlines menerima pesawat pertama A380 pada Oktober 2012.

Air France adalah syarikat penerbangan pertama yang mengumumkan penamatan operasi pesawat A380 pada 2020.

Syarikat lain yang menghentikan penggunaan pesawat itu adalah Emirates, Etihad, Hi Fly dan Lufthansa.

Bagaimanapun, terdapat syarikat penerbangan di Asia kembali menggunakan pesawat komersial terbesar dunia itu berikutan peningkatan permintaan.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia Airlines akan memulangkan semua enam pesawat A380 miliknya kepada Airbus yang mana adalah sebahagian daripada perjanjian pembelian 20 pesawat A330-9000 neo pada Ogos lalu.

Terdahulu, syarikat penerbangan itu mengumumkan akan menghentikan operasi kesemua enam pesawat A380 pada akhir tahun.

Berkemungkinan besar, pesawat itu akan dilupuskan sekiranya masih belum ada pihak berminat untuk membeli selepas setahun Malaysia Airlines mengeluarkan notis tender menjual.

Malaysia Airlines mempunyai enam unit pesawat model itu dan difahamkan, penghantaran pulang dibuat secara berperingkat bermula 14 November.

Bagi rakyat negara ini, pesawat dua tingkat yang diberi jolokan nama Dugong Malaysia itu bukan sekadar kapal terbang biasa.

Selain penerbangan tanpa henti ke destinasi seperti London, Seoul, Tokyo, Hong Kong dan Australia, A380 juga sudah membawa ribuan jemaah ke Madinah serta Jeddah menunaikan haji dan umrah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 2:06 PM