FOTO HIASAN. FOTO Reuters
FOTO HIASAN. FOTO Reuters
Agensi

Sydney: Pihak berkuasa kesihatan Australia menasihatkan penduduknya supaya tidak mengambil vaksin Covid-19 yang kelima (dos penggalak ketiga).

Ia bagaimanapun menggesa orang yang layak untuk mengambil baki dos penggalak yang diperlukan mereka, ketika gelombang baharu koronavirus di negara itu.

Portal The National melaporkan, purata kes harian berjumlah 47 peratus lebih tinggi minggu lalu berbanding minggu sebelumnya, kata Menteri Kesihatan Mark Butler ketika beliau mengumumkan cadangan vaksinasi baharu.

Tetapi kes kekal 85 peratus di bawah kemuncak yang direkodkan sebelumnya iaitu akhir Julai.

Butler berkata, Kumpulan Penasihat Teknikal Australia Mengenai Imunisasi (Atagi) mengesyorkan nasihat berhubung dos kelima atau penggalak ketiga itu.

Ia selepas bukti daripada gelombang jangkitan Covid-19 di Singapura, baru-baru ini, menunjukkan penyakit teruk dan kematian jarang berlaku dalam kalangan mereka yang divaksinasi, dan suntikan kelima mempunyai kesan minimum terhadap penularan virus.

"Atagi mempertimbangkan bukti antarabangsa serta data tempatan mengenai jumlah vaksinasi serta kes dalam wabak itu dan memutuskan untuk tidak mengesyorkan dos kelima.

"Ia menyatakan penyakit teruk dan kematian ketika gelombang itu di Singapura, sangat jarang berlaku bagi orang yang mempunyai sekurang-kurangnya dua dos vaksin untuk Covid-19.

"Cadangan penggalak baharu akan dibuat awal tahun depan sebelum musim sejuk Hemisfera Selatan," katanya.

Butler menggesa mereka yang belum mempunyai bilangan dos yang disyorkan, untuk berbuat demikian.

Dilaporkan, 5.5 juta rakyat Australia atau kira-kira satu perlima daripada penduduk masih belum menerima dos ketiga, walaupun layak.

Beliau juga menerima cadangan Atagi supaya vaksin khusus Omicron keluaran Pfizer diluluskan sebagai dos penggalak untuk orang dewasa.

Kira-kira 4.7 juta dos vaksin jenis itu akan tiba sebelum 12 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 12:39 PM