LAPORAN mengenai pelancaran perlu berpandu Korea Utara yang disiarkan stesen televisyen Korea Selatan. FOTO AP
LAPORAN mengenai pelancaran perlu berpandu Korea Utara yang disiarkan stesen televisyen Korea Selatan. FOTO AP
Reuters

Seoul: Korea Selatan memberi amaran serangan udara di pulau terpencil negara itu selepas Korea Utara melancarkan tiga peluru berpandu balistik di lautan, pada Rabu.

Ini termasuk satu peluru berpandu dilancarkan Pyongyang yang mendarat kurang 60 kilometer (km) dari pantai negara jirannya itu, kata pasukan tentera.

Pelancaran misil itu dibuat hanya beberapa jam selepas Pyongyang menuntut Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan menghentikan latihan ketenteraan berskala besar dengan melabelkan tindakan itu sebagai 'gelojoh' dan provokasi ketenteraan.

Pelancaran misil itu juga dilaporkan Pengawal Pantai Jepun.

Ketua Turus Angkatan Bersama Korea Selatan berkata, negara itu melancarkan serangan udara di pulau Ulleung, pada masa hampir sama dengan pelancaran peluru berpandu dijalankan Korea Utara.

Tentera berkata, sekurang-kurangnya satu peluru berpandu mendarat 26 km ke selatan Garisan Had Utara yang menjadi sempadan maritim yang menjadi pertikaian kedua dua negara.

Peluru berpandu itu mendarat hanya 57 km dari bandar Sokcho Korea Selatan, di pantai timur dan 167 km dari Ulleung.

Agensi berita Yonhap memetik seorang pegawai Daerah Ulleung sebagai berkata, tindakan itu menyebabkan pekerja terpaksa berpindah ke ruang bawah tanah selepas amaran misil dibunyikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 9:39 AM