Reuters

Beijing: China menghantar sepasang hadiah unik kepada Qatar, sebulan menjelang Piala Dunia 2022 yang dijadualkan berlangsung di negara itu.

Hadiah itu ialah sepasang panda gergasi dinamakan sebagai Suhail dan Soraya yang tiba dari wilayah barat daya Sichuan di China menerusi penerbangan khas dari Beijing, baru-baru ini.

Reuters melaporkan, panda adalah sebahagian daripada program kerjasama penyelidikan dan pemuliharaan haiwan antara kedua-dua negara, lapor media tempatan.

Kedua-dua haiwan itu diiringi oleh pasukan penjaga berpengalaman dan doktor haiwan yang akan membantu panda itu menetap di rumah baharu, yang direka untuk meniru keadaan hutan di China.

Dong Li, seorang penjaga yang mengiringi kedua-dua panda sebelum ini berkata, pasukan itu sudah mengukus roti jagung, rebung, lobak merah dan makanan lain untuk haiwan itu sekiranya ia memerlukannya ketika dalam perjalanan sebelum tiba di Qatar.

Dilaporkan, 800 kilogram buluh segar akan diterbangkan ke Qatar, setiap minggu, untuk memberi makan kepada kedua-duanya.

Panda gergasi itu yang sebelum ini dikenali dengan nama Jing Jing dan Si Hat ditukar nama kepada nama Arab sebelum tiba di negara teluk itu.

Suhail, panda jantan berusia empat tahun mempunyai berat 120 kilogram (kg), manakala Soraya, panda betina berusia tiga tahun seberat 70 kg.

Ini adalah program kerjasama panda gergasi pertama antara China dan Timur Tengah, menurut Xinhua News.

Ia susulan perjanjian kerjasama yang ditandatangani pada Mei 2020 antara Beijing dan Doha.

Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia Fifa bermula 20 November hingga 18 Disember tahun ini, dan negara itu dijangka menerima kira-kira 1.2 juta pelawat.

SUHAIL dan pasangannya akan dikuarantin sebaik tiba di Qatar. FOTO AFP
SUHAIL dan pasangannya akan dikuarantin sebaik tiba di Qatar. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 12:42 PM